Unit LAKSANA pastikan pakej PRIHATIN sampai kepada kumpulan sasar - Azmin Ali

Astro Awani
Mac 28, 2020 14:19 MYT
MOHAMED AZMIN: aya amat memahami dan merasai perasaan dan denyutan nadi rakyat di bawah yang terpaksa sebahagiannya hilang pekerjaan, sebahagian besar mereka hilang pendapatan. - Gambar BERNAMA
Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) memastikan setiap janji dan inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) sampai kepada kumpulan sasar dengan cepat, pantas dan telus.
Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia sekali gus menjadi cabaran kerajaan untuk memastikan setiap yang dibentangkan perlu dilaksanakan.
"Unit LAKSANA sedang memantau perkara ini dan saya yakin para pegawai yang terlibat harus mengambil peluang ini untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dalam keadaan yang amat sukar.
"Saya amat memahami dan merasai perasaan dan denyutan nadi rakyat di bawah yang terpaksa sebahagiannya hilang pekerjaan, sebahagian besar mereka hilang pendapatan.
"Sudah tentu dalam suasana ini mereka amat tertekan dan kita harus mengenepikan semua persoalan birokrasi dalam memastikan bantuan-bantuan ini dapat sampai segera seperti yang telah dibentangkan dalam pakej rangsangan ekonomi ini," katanya semasa menjadi tetamu rancangan Bicara Naratif RTM di sini, pada Sabtu.
BACA: Pakej PRIHATIN: 'Mak Cik Kiah' dah boleh tersenyum sikit
BACA: Kini masanya untuk pelaksanaan dasar pengembangan fiskal - Tengku Zafrul
Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat bernilai RM250 bilion memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion memperkukuhkan ekonomi negara.
Dalam pada itu Mohamed Azmin menjelaskan, setiap agensi perlu menggunakan pendekatan big data untuk memastikan keberkesanan penyaluran bantuan selepas selesai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, ia pendekatan untuk menghimpunkan data dan statistik supaya kerajaan dapat menyalurkan bantuan mengikut keperluan masing-masing.
"Sebagai contoh, sektor pertanian harus mengambil tindakan segera memperkenalkan pendekatan teknologi baharu seperti automasi, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan juga robotik. Teknologi-teknologi yang dapat meningkatkan produktiviti.
"Malaysia ini sebuah negara yang amat aman dan dikurniakan suasana iklim yang subur, tanah yang baik dan kita harus menggunakan peluang ini untuk melihat sektor pertanian negara beralih kepada teknologi yang boleh meningkatkan produktiviti mereka dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing," katanya
Sementara itu, Mohamed Azmin memberitahu, kerajaan berharap contoh kisah Mak Cik Kiah memberi kelegaan khususnya kepada keluarga dari golongan B40 dan M40 dalam tempoh tiga bulan menghadapi suasana sukar.
"Ini satu contoh Mak Cik Kiah dengan insentif dan bantuan kerajaan ini, satu keluarga boleh mendapat sedikit kelegaan khususnya dalam tempoh tiga bulan apabila menghadapi suasana yang sukar.
"Jadi, kalau Mak Cik Kiah boleh mendapat kelegaan, kita juga mengharapkan ramai lagi
peniaga-peniaga lain dari golongan B40, M40 mendapat bantuan dan dukungan yang sama bagi membantu keluarga masing-masing dalam situasi yang sukar pada hari ini," katanya.
Analogi penjual pisang goreng bernama Mak Cik Kiah digunakan Muhyiddin bagi memperjelas contoh manfaat Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) yang diyakini mampu membawa senyuman kepada rakyat dalam tempoh mencabar akibat penularan COVID-19 ini.
#B40 #COVID-19 #ekonomi #kerajaan #Menteri Kanan Ekonomi #Mohamed Azmin Ali #PKS #PRIHATIN
;