Unit khas elit ditubuh, banteras penerokaan tanah haram - MB Pahang

Astro Awani
Disember 4, 2021 08:15 MYT
Wan Rosdy meletak batu sebagai simbolik melancarkan peletakan batu asas Foodlawn.Kome@Tanjung Lumpur di hadapan Masjid Darul Hikmah, Tanjung Lumpur, pada Jumaat
KUANTAN: Tindakan penguatkuasaan akan terus dilakukan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tanah di Pahang dapat mencapai tahap kosong peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, justeru, Unit Khas Elit Penguatkuasaan Negeri Pahang ditubuhkan bagi membantu kerajaan mengawal penerokaan tanah haram.
Menurutnya, kerajaan negeri yakin kaedah itu dapat memastikan pencerobohan dapat diminimumkan.
"Kalau boleh zero (tiada langsung) kegiatan ceroboh tanah haram dan itu sebenarnya hasrat kita.
"Pencerobohan tanah akan merugikan kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan peletakan batu asas Foodlawn.Kome@Tanjung Lumpur, di hadapan Masjid Darul Hikmah pada Jumaat.
Hasil mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju semua kerajaan negeri melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram itu selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022.
Mesyuarat diadakan secara sidang video itu juga bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun dan memaklumkan terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, aktiviti pencerobohan tanah tersebut masih berlaku dan bukan dalam skala besar seperti sebelum ini.
"Kegiatan pencerobohan tanah masih berlaku namun keadaan tersebut tidak serius.
"Jadi, sebab itu kita perlu ada pihak memantau dan jika kita tidak mengawal ia (aktiviti ceroboh tanah) mungkin kembali berlaku seperti dulu,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai proses pemulihan Tasik Chini, Wan Rosdy berkata, semuanya berjalan mengikut jadual dan sehingga kini sebanyak 75 peratus proses pemulihan sudah selesai.
"Kita sudah melawat (Tasik Chini) hujung bulan lalu dan kerja pemulihan serta penanaman semula pokok berjalan mengikut jadual.
"Kita akan melawat sekali lagi bulan Januari atau Februari depan untuk melihat perkembangan proses pemulihan itu," katanya
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang sudah memperuntukkan RM10 juta bagi mewujudkan lima Foodlown.kome di seluruh negeri.
Menurutnya, Foodlown.kome ini merupakan perniagaan berpusat dan memberi peluang kepada anak muda untuk menjadi usahawan.
"Sebagai projek perintis kita wujud Foodlown.kome di Tanjung Lumpur dan projek ini menelan belanja RM2.8 juta," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#penerokaan tanah haram #Wan Rosdy Wan Ismail #ismail sabri yaakob #unit khas elit
;