Unit K9 dan berkuda antara yang ditempatkan untuk kawalan sempadan

Vivi Sumanti
Mac 25, 2022 12:35 MYT
Penggunaan UNit K9 adalah antara langkah dan kaedah baharu oleh Polis Kontinjen Kelantan dalam mengekang jenayah rentas sempadan. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia, PDRM dan Unit Anjing Pengesan (K9) adalah antara unit yang akan ditempatkan untuk kawalan dan pengawasan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ia merupakan antara langkah dan kaedah baharu oleh Polis Kontinjen Kelantan dalam mengekang jenayah rentas sempadan.
"PDRM memperkenalkan kaedah baharu dalam menangani isu rentas sempadan termasuk penyeludupan barangan terlarang dan sebagainya di sempadan, dengan menambah aset, keanggotaan dan unit," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Polis ke-215 peringkat Kelantan di Ibupejabat Polis Kontinjen Kelantan, IPK di sini pagi tadi.
Menurut Shafien lagi, pucuk pimpinan PDRM bersetuju untuk meningkatkan kawalan dan menambah unit termasuk Unit Berkuda dan K9 selain penggunan Dron untuk pengawasan sempadan Kelantan Thailand yang dipisahkan oleh Sungai Golok.
"Jumlah aset, keanggotaan dan sebagainya akan dimaklumkan oleh pengurusan Bukit Aman yang mana pelancaran unit tersebut dijangka diadakan pada hujung bulan nanti," katanya
"Penempatan unit berkenaan bukan sahaja sebagai persediaan untuk pembukaan sempadan negara, sebaliknya ditempatkan untuk jangka masa panjang," jelasnya lagi.
Untuk rekod terdapat lebih 90 pangkalan haram dan laluan tikus di sepanjang sempadan Malaysia Thailand bermula dari Tanah Merah hingga ke Tumpat.
Dari jumlah tersebut, terdapat kira kira 30 pengkalan haram yang dikesan aktif sebagai laluan penyeludupan.
Sempadan negara di Kelantan dikawal oleh Angkatan Tentera Malaysia, ATM Pasukkan Gerakan Am, PGA, Pasukan Polis Marin.
Pada sambutan Hari Polis ke-215 peringkat Kelantan seramai 156 orang menerima Surat Penghargaan Polis termasuk kalangan pengamal media, orang awam dan anggota polis.
#Kawalan sempadan #PDRM #unit berkuda #unit k9
;