Unit K9 bantu SAR remaja lelaki hilang di Gerik

Abd Razak Mohd Ali
Jun 22, 2023 09:50 MYT
Gerak kerja pencarian dimulakan jam 10 pagi setelah selesai sesi taklimat dan perancangan operasi. - Foto JBPM Perak
GERIK: Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu operasi mengesan remaja lelaki berusia 17 tahun yang hilang di dalam kawasan ladang getah di sini, sejak semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dua ekor anjing serta tiga anggota dari Unit K9 Kuala Lumpur tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik pagi ini.
“Gerak kerja pencarian akan dimulakan jam 10 pagi ini setelah selesai sesi taklimat dan perancangan operasi,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, fokus pencarian hari ini tertumpu kepada sekitar kawasan dua kilometer radius dari lokasi terakhir motosikal mangsa ditemui.
Terdahulu, seorang remaja lelaki yang dipercayai mengalami kecelaruan minda dari Kampung Tanjung Sejarah, Tawai, dekat sini, dikhuatiri hilang sejak semalam.
Sabarodzi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan itu pada jam 1.33 pagi ini.
Katanya, kali terakhir mangsa dilihat di sekitar Kampung Ulu Kenderong, Jalan Air Bertam, sekitar jam 9 pagi semalam.
Pada jam 6 petang, keluarga remaja berkenaan mencari mangsa dan menjumpai motosikal yang dibawanya di dalam kebun getah.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik telah membuka pos kawalan (PKN) di lokasi.
#remaja hilang #kebun getah #Gerik #SAR remaja hilang
;