Unit dron Bukit Aman bantu pencarian bekas komando hilang

Bernama
Disember 16, 2023 17:04 MYT
Unit Dron PGU Bukit Aman akan membantu pencarian bekas komando GGK Ab Manan Keri yang dilaporkan hilang pada Khamis lepas. -Gambar fail/Bernama
KLUANG: Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman akan membantu pencarian bekas komando Grup Gerak Khas (GGK) Ab Manan Keri yang dilaporkan hilang pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata operasi yang memasuki hari kedua hari ini turut melibatkan 80 pegawai dan anggota pasukan penyelamat termasuk Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kluang serta sembilan bot.
"Jarak pencarian juga ditambah melibatkan bahagian atas (hulu) dan hilir tempat kejadian dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sejauh kira-kira lapan kilometer, berbanding tiga kilometer semalam.
"Kita juga melibatkan anggota unit penyelam skuba bomba," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di PKTK di Kampung Palembang, di sini hari ini.
Menurut Bahrin, pencarian juga membabitkan tiga sektor bahagian kiri dan kanan tebing sungai, bahagian dasar dan selaman dari Simpang Sungai Melantai hingga Jambatan kedua Jalen Paloh.
"Usaha mencari mangsa yang bermula pada 9 pagi hari ini diharap mempunyai perkembangan yang positif," katanya.
Sementara itu, anak mangsa Mohamad Shahfullah Ab Manan, 29, berharap bapanya dapat ditemukan semula.
"Sama-sama kita berdoa agar ayah dapat ditemukan dalam keadaan selamat dan amat berterima kasih atas usaha yang dilancarkan oleh pasukan penyelamat," katanya.
Terdahulu, warga emas berusia 73 tahun itu dilaporkan hilang setelah menghadiri majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Batu Pahat dan Kluang, di Dataran Tasik pada Khamis lepas, dengan berpakaian lengkap Kelab Veteran Komando dan beret hijau.
Semalam, Bahrin berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Persatuan Eng Choon, dan mendapati terdapat kelibat seseorang telah terjatuh ke longkang besar berhampiran Sungai Mengkibol.
-- BERNAMA
#Simpang Sungai Melantai #Jalen Paloh #PGU Bukit Aman #bekas komando #Ab Manan Keri
;