UNIMAS tangguh kemasukan pelajar, elak penularan COVID-19
Nickyson Nyambar
Oktober 2, 2020 16:29 MYT
Oktober 2, 2020 16:29 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengambil keputusan untuk menangguhkan kemasukan bagi semua mahasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah sesi 2020/2021.
Memetik kenyataan yang dikongsikan dalam laman Facebook rasmi UNIMAS, keputusan itu selaras dengan ketetapan baharu kemasukan ke Sarawak seperti yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis.
Menurut Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi, kemasukan bagi mahasiswa kampus berkenaan akan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
“Bagi yang sudah berada di kampus buat tempoh ini, mereka dibenarkan dengan syarat patuh pada arahan keselamatan termasuk Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya dalam kenyataan sama.
Tambah kenyataan itu lagi, pendaftaran bagi pelajar baharu dan semasa masih dilaksanakan, namun dengan menggunakan medium secara atas talian di portal rasmi UNIMAS.
Sementara itu, setiap pelajar yang sepatutnya berada di kampus untuk sesi berkenaan diminta untuk berhubung dengan fakulti masing-masing bagi mengetahui kaedah pengajian serta mod untuk sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijadualkan bermula pada 12 Oktober depan.
#AWANI Sarawak
#Astro Awani
#Universiti Malaysia Sarawak
#Unimas
#Naib Canselor UNIMAS
#Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi