Unimas IPTA pertama guna sistem pengenalan diri digital
Bernama
Oktober 19, 2017 09:20 MYT
Oktober 19, 2017 09:20 MYT
Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mencipta sejarah apabila muncul sebagai institusi pendidikan pertama di negara ini yang melaksanakan sistem pengenalan pelajar dan kakitangan secara digital.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata penggunaan sistem digital yang bermula bulan ini itu memerlukan pelajar serta kakitangan mengimbas telefon pintar mereka dengan 'QR Code'.
Katanya ketika ini penggunaan sistem pengenalan digital itu adalah bagi merekod kehadiran sebelum dikembangkan untuk pelbagai kegunaan lain di kampus.
"Unimas hanya mengambil masa sebulan untuk melaksanakan sistem pengenalan digital tersebut, ini merupakan perkara yang membanggakan.
"Saya melihat pelaksanaan sistem pengenalan digital ini dan sistem penilaian baharu pelajar iaitu Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA), amat menarik dan menggambarkan kemampuan Unimas," katanya pada sidang media selepas merasmikan Unimas Silver Jubilee Conference 2017 (USJ 2017) di sini pada Rabu.
Turut hadir Naib Canselor Unimas Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.
Idris turut melahirkan rasa gembira dengan kejayaan yang dicapai Unimas dalam tempoh 25 tahun penubuhannya, antaranya ialah kedudukan universiti itu menurut QS Asia Rankings dari tangga ke-291 melonjak pada kedudukan ke-247.
"Melalui penganjuran USJ 2017 ini pula kita lihat Unimas mampu menarik lebih 300 penulisan dan abstrak dari seluruh dunia seperti dari Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand dan Australia serta menyaksikan kertas kerja yang dibentangkan dipilih untuk disiarkan dalam jurnal SCOPUS dan ISI-Indexed," katanya.
-- BERNAMA
#digital
#Idris Jusoh
#institusi pendidikan
#ipta
#mengimbas
#pelajar
#QR Code
#sistem pengenalan
#telefon pintar
#Unimas
#Universiti Malaysia Sarawak