UNIMAS cadang bekerjasama dengan universiti di Kalimantan

Bernama
Mei 17, 2023 04:01 MYT
UNIMAS juga komited untuk terus mendukung inisiatif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 kerajaan Sarawak serta konsep Malaysia MADANI kerajaan Persekutuan.
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berhasrat membentuk kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di Kalimantan tahun ini, seiring dengan rancangan perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di wilayah itu.
Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata langkah ini sejajar dengan komitmen berterusan universiti itu untuk melonjakkan keberadaannya dalam barisan institusi terulung di Borneo.
"UNIMAS turut merangka pendekatan lebih agresif pada 2023 dalam mengeratkan dan menguatkan penglibatannya dalam pengembangan ilmu melalui pembentukan kerjasama rakan-rakan strategik di universiti-universiti di Kalimantan," katanya.
Berucap pada Majlis Anugerah Gemilang UNIMAS 2023 di sini semalam, beliau berkata UNIMAS juga komited untuk terus mendukung inisiatif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 kerajaan Sarawak serta konsep Malaysia MADANI kerajaan Persekutuan.
"Kita akan memastikan hasrat semasa kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi diakar umbikan di segenap peringkat di universiti ini," katanya.
-- BERNAMA
#Unimas #IPT #Kalimantan #ibu negara indonesia
;