UNICEF sedia sokong kerajaan, lindungi kanak-kanak terabai

Syafik Shukri Jalil
September 12, 2024 22:51 MYT
Kanak-kanak yang berada dalam jagaan institusi memerlukan sokongan pekerja sosial bertauliah yang boleh memantau rumah kebajikan dengan berkesan.
KUALA LUMPUR: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bersedia menyokong kerajaan dalam usaha melindungi kanak-kanak yang terabai daripada jagaan ibu bapa.

Ringkasan AI
  • UNICEF bersedia menyokong kerajaan dalam usaha melindungi kanak-kanak yang terabai daripada jagaan ibu bapa.
  • UNICEF juga menyokong sebarang usaha bagi mencegah tindakan memisahkan kanak-kanak daripada keluarga mereka.
  • Kanak-kanak yang berada dalam jagaan institusi memerlukan sokongan pekerja sosial bertauliah yang boleh memantau rumah kebajikan dengan berkesan.

Wakil UNICEF di Malaysia, Robert Gass berkata, pihaknya juga menyokong sebarang usaha bagi mencegah tindakan memisahkan kanak-kanak daripada keluarga mereka.
"Sudah tiba masanya mengamalkan sikap sifar toleransi terhadap keganasan kepada kanak-kanak dalam semua bentuk.
"Ini kerana setiap kanak-kanak berhak membesar dalam sebuah persekitaran keluarga yang sihat dan saling menyokong antara satu sama lain," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Gass berkata demikian sebagai respons kepada kejadian melibatkan 402 kanak-kanak dan remaja yang menjadi mangsa eksploitasi dan pengabaian di pelbagai rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Selain itu, Gass turut memuji usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan penyelerasan mereka dalam menyelamatkan kesemua mangsa yang terlibat.
Malah pihaknya berharap tindakan ini akan mengakhiri trauma kesemua mangsa dan menjadi permulaan yang baharu dalam usaha pemulihan mereka.
"Kanak-kanak ini mengalami tragedi yang tidak dapat dibayangkan dan memerlukan sokongan perubatan dan psikososial profesional untuk tempoh jangka masa panjang.
"Kerosakan yang terjadi adalah serius dan akan memberi kesan seumur hidup," ujarnya lagi.
Tegasnya, kanak-kanak yang berada dalam jagaan institusi memerlukan sokongan pekerja sosial bertauliah yang boleh memantau rumah kebajikan dengan berkesan.
Ini kerana ujarnya, selagi kanak-kanak tinggal dalam jagaan institusi yang tidak terkawal, mereka berisiko tinggi mengalami penderaan dan keganasan.
#UNICEF #GISB #PDRM #Robert Gass
;