UNI-MLC sambut baik peningkatan peruntukan PHEKS 2025

Farhan Hakimi
Januari 21, 2025 11:15 MYT
Menurut Mohamed Shafie, langkah ini dilihat sebagai usaha penting oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memperkasa pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia melalui pelbagai inisiatif.
KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-Malaysia Labour Centre, UNI-MLC) menyambut baik pengumuman peningkatan peruntukan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 sebanyak RM10 juta oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie Bp Mammal dalam satu kenyataan berkata, langkah ini dilihat sebagai usaha penting oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memperkasa pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia melalui pelbagai inisiatif.
Ini, jelas beliau, termasuk latihan, program pendidikan, kajian kesatuan, penulisan ilmiah, serta pembelian peralatan teknologi maklumat.
Menurut Mohamed Shafie, pengenalan kluster baharu iaitu Pendigitalan Rekod Pengurusan Kesatuan Sekerja oleh kerajaan dianggap tepat pada masanya.
“Usaha ini dapat membantu kesatuan yang masih menggunakan sistem manual dalam pengurusan dan diharap dapat meningkatkan kecekapan dan tadbir urus kesatuan,” jellas beliau lagi.
Selain itu, UNI-MLC turut menyambut baik kenaikan peruntukan untuk kluster Latihan dan Program Pendidikan daripada RM20,000 kepada RM30,000.
Kata Mohamed Shafie, langkah ini seiring dengan matlamat memperkasakan pekerja dan kesatuan sekerja dalam menghadapi cabaran era moden.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan peningkatan peruntukan ini sebagai hadiah bermakna untuk tahun 2025 kepada gerakan kesatuan sekerja di Malaysia.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada teven Sim dan KESUMA atas usaha murni ini, yang diyakini mampu memperkukuh solidariti pekerja di negara ini.
Terdahulu, kerajaan meningkatkan peruntukan bagi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) kepada RM10 juta pada tahun ini.
Menurut Steven Sim, pertambahan peruntukan itu adalah bagi memperkasakan pergerakan kesatuan sekerja melalui peningkatan latihan kemahiran serta pengadaptasian penggunaan teknologi.
Kerajaan sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta untuk program berkenaan pada 2023 dan RM5.8 juta (2024).
#UNI-MLC #PHEKS #kesatuan sekerja #Mohamed Shafie BP Mammal
;