UNHCR perlu laksana tanggungjawab terhadap pelarian, pemohon suaka - Zahid

Astro Awani
Mei 8, 2023 18:45 MYT
Ahmad Zahid mempengerusikan Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka di Putrajaya pada Isnin. -Foto JTPPPS
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) digesa melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka yang berada di dalam negara selaras mandat dan fungsi penubuhannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, suruhanjaya itu juga tidak sepatutnya meletakkan beban pengurusan pelarian semata–mata kepada kerajaan atau komuniti tempatan.
Susulan itu, kerajaan sedang mempertimbang mengadakan suatu perjanjian bersama pihak UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab UNHCR di dalam negara selaras Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950).
Ia berikutan kegusaran rakyat berikutan kehadiran serta tindakan dilakukan segelintir golongan pelarian dan pemohon suaka yang bertentangan dengan norma kehidupan dan sensitiviti budaya setempat, sekali gus menjejaskan keharmonian rakyat tempatan.
"Kerajaan menghormati mandat penubuhan, fungsi dan peranan UNHCR seperti mana yang diperuntukkan di bawah Resolusi 319 (IV) Perhimpunan Agung PBB (1949) dan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950).
"Namun, perlu diingatkan bahawa Malaysia bukannya negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967.
"Atas prinsip-prinsip nilai kemanusiaan, kerajaan telah membenarkan golongan ini untuk berada sementara di dalam negara sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga atau pulang ke negara asal," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka di Putrajaya pada Isnin.
Justeru, katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang didapati bersekongkol dengan ejen-ejen pemerdagangan manusia menyeludup masuk pelarian dan pemohon suaka ke negara ini.
Setakat ini, Ahmad Zahid mendedahkan, peningkatan jumlah pelarian dan pemohon suaka yang memegang Kad UNHCR yang amat ketara iaitu 75,617 orang pada tahun 2009 kepada 185,760 orang pada Mac 2023.
"Sebanyak 160,332 orang (86.3 peratus) daripada keseluruhan pelarian dan pemohon suaka ini adalah pelarian daripada Myanmar, dan 107,433 orang (67.0 peratus) daripada pelarian Myanmar adalah etnik Rohingya, Myanmar.
"Pelarian daripada negara lain yang mempunyai signifikan ialah Pakistan (7,109 orang), Yemen (3,466) Afghanistan (3,444), Somalia (3,161) dan Syria (3,161)," jelas beliau.
Mesyuarat itu juga, katanya, mengambil maklum terhadap tindakan pihak UNHCR yang mendaftarkan 948 orang yang didakwa sebagai pelarian dari Indonesia dengan alasan diberikan kerana berkahwin dengan pelarian lain di Malaysia, walaupun diketahui bahawa negara tersebut tidak mengalami sebarang krisis kemanusiaan.
Dalam pada itu, kerajaan akan memberikan penekanan terhadap perancangan dan usaha mengukuhkan peranan kerajaan di dalam pengurusan pelarian dan pemohon suaka melalui empat kluster penambahbaikan utama iaitu mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka, penentuan status pelarian, penguatkuasaan undang-undang kepada pelarian dan pemohon suaka, dan sistem sokongan sosial.
"Perincian mengenai penguatkuasaan penambahbaikan ini akan dimaklumkan oleh kerajaan dari masa ke semasa.
"Peranan dan penglibatan Entiti Kerajaan, UNHCR dan NGO di dalam negara dan luar negara perlu diselaras dan diperkemas dalam isu membabitkan pengurusan pelarian dan pemohon suaka ini.
"Penekanan akan diberikan di terhadap mekanisme pengurusan dan penguatkuasaan yang efisien, dasar-dasar membabitkan kebajikan dan sosial di samping menjamin keselamatan dan kedaulatan negara," ujarnya.
#Zahid Hamidi #UNHCR #pelarian #pemohon suaka
;