UNHCR alu-alukan langkah M'sia terima 3,000 pelarian Syria
Bernama
Oktober 4, 2015 10:18 MYT
Oktober 4, 2015 10:18 MYT
Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) mengalu-alukan kemurahan hati Malaysia dalam membuka pintu negara ini kepada 3,000 pelarian Syria.
Wakil UNHCR, Richard Towle berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama dalam usaha kerajaan Malaysia menerima pelarian tersebut.
"Saya berpendapat Malaysia mampu mengurus jumlah pelarian itu dengan jayanya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku resepi pelarian berjudul 'Taste From Home' di sini, malam ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada ucapan pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Khamis, mengumumkan kesanggupan Malaysia menerima 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Setakat Ogos ini, terdapat 153,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNCHR di Malaysia.
Majoriti daripada mereka iaitu 93 peratus adalah dari Myanmar dan bakinya antara lain dari negara Sri Lanka, Pakistan, Somalia, Syria, Iraq, Iran dan Palestin.
Mengulas pelancaran buku resepi itu, Towle berkata ia bertujuan menyediakan pembaca peluang melihat kisah hidup pelarian menerusi masakan dan sajian mereka.
"Buku ini ditulis dan gambar dirakam dalam tempoh setahun oleh Haris Coussidis, seorang jurugambar antarabangsa dan juga seorang tukang masak profesional.
"Ia mengandungi 55 resepi daripada 17 masakan di rumah pelarian dari 11 negara yang tinggal di negara ini. Buku ini kini dijual di pejabat UNHCR di sini," katanya.