Ungku Aziz: Tak ramai pemimpin Melayu yang garang dan berpendirian teguh
T K Letchumy Tamboo
Januari 26, 2014 11:47 MYT
Januari 26, 2014 11:47 MYT
Pada masa kini, tiada ramai pemimpin Melayu yang garang dan berpendirian teguh.
Ini adalah luahan hati Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid yang berpendapat seorang tokoh itu harus garang dan bersemangat.
“Bukan saya nak komen tapi dalam kalangan pemimpin Melayu, siapa tokoh yang boleh kita ikut? Tokoh itu mesti garang dan bersemangat.
“Pada hari ini tak ramai pemimpin Melayu yang garang. Banyak pemimpin yang kompromi sana, kompromi sini - tiada pendirian yang teguh.
“Pemimpin seperti Sir Winston Churchill, beliau tak suka kompromi. Pemimpin seperti Churchill berpendirian tetap dan berani. Soalnya siapa berani korbankan diri?” tanya Ungku Aziz dalam satu wawancara yang diterbitkan di dalam Mingguan Malaysia hari ini.
Ungku Aziz berkata isu perpaduan dan perpecahan di kalangan orang Melayu sekarang bukan sahaja berlaku antara Melayu dengan Melayu, malah, ia juga berlaku antara Melayu kota dan Melayu desa, Melayu dalam UMNO dengan Melayu dalam PAS dan PKR serta antara orang Melayu yang muda dengan tua.
Semasa mengulas tentang isu kenaikkan harga barang, Ungku Aziz berpendapat perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia adalah kuasa pasaran.
“Tetapi apa yang lebih penting adalah sikap orang Melayu berhadapan dengan situasi ini.
“Orang Melayu merupakan golongan yang paling banyak berhutang. Mengikut statistik Bank Negara, ada yang memiliki 15 kad kredit dan mereka dibelenggu hutang,” katanya.
Sementara itu, semasa mengulas tentang penggunaan Bahasa Melayu Ungku Aziz berkata bahasa Kebangsaan itu kini seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri.
“Ada perkataan bahasa Melayu yang ditokok tambah dan lebih menyedihkan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa Melayu.
“Saya tahu bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan tidak dapat disangkal. Itu tidak bermakna masyarakat perlu mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul,” katanya.
Apabila ditanya apa dilakukan bagi memastikan bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa kebangsaan, Ungku Aziz mencadangkan usaha mewujudkan kelas atau kursus bagi orang dewasa yang berumur 20-an ke atas khususnya orang luar yang mendapat status kewarganegaraan tetapi tidak tahu berbahasa Melayu.
“Kita juga boleh mengadakan kelas melalui internet dan lama-kelamaan bahasa Melayu akan terus kekal sebagai Bahasa Kebangsaan.
“Kita mesti ada satu bahasa untuk semua orang sebagai simbol perpaduan,” katanya.