Ungkapan ‘lembu kenyang’ punca Dewan Rakyat kecoh

Astro Awani
Jun 24, 2024 20:47 MYT
Ungkapan tersebut mencetuskan suasana gamat dalam Dewan Rakyat selepas Radzi menggunakan kenyatan itu bagi mengambarkan bahawa kerajaan pada hari ini tidak mendengar rintihan rakyat - Gambar fail/JAPEN
KUALA LUMPUR: “Kerajaan seperti lembu kenyang.”
Demikian kata Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin ketika berbahas pada Sesi Penerangan Penyasaran Semula Subsidi Diesel oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ungkapan tersebut mencetuskan suasana gamat dalam Dewan Rakyat selepas Radzi menggunakan kenyatan itu bagi mengambarkan bahawa kerajaan pada hari ini tidak mendengar rintihan rakyat di bawah.
"Kerajaan yang ada pada hari ini tidak mendengar apa yang rakyat sebut di bawah. Ini kerajaan ‘lembu kenyang’.
"Mereka tidak menyelami apakah sebenarnya yang dilalui oleh rakyat. Saya dengar penjelasan Menteri Kewangan II, berapa kali Menteri Kewangan II sebut tentang kebajikan rakyat, kita boleh dengar berapa banyak perbincangan tentang kebajikan. Di luar sana impaknya besar.
“Perkara ini bukan boleh dibuat main. Bagaimana pula Budi dan Padu. Kalau dulu Menteri Ekonomi kata Padu akan digunakan, akhirnya tiba-tiba nak kena isi Budi pula. Ini kerajaan lembu kenyang. Tak nak dengar rintihan rakyat," katanya.
Kenyataan dibuat Radzi itu menyebabkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bangun mencelah memintanya menarik balik kenyataan dibuat.
"Tarik balik. Ini sangkaan jahat," ujar beliau.
Bagaimanapun Radzi tidak mengendahkan gesaan dibuat oleh Tze Tzin dan meneruskan ucapannya.
Di akhir ucapan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya meminta penjelasan berhubung ungkapan lembu kenyang yang dibuat oleh Radzi.
"Lembu kenyang ini kalau orang Kelantan kata, dia buat rileks, dia buat tak tahu. Orang kacau, orang cakap apa, dia buat tak dengar.
"Itulah yang saya nak sampaikan bahawa rakyat di bawah sana bercakap tentang tekanan dan kos yang mereka dihadapi.
"Tetapi kerajaan tidak bertindak, apa tindakan (kerajaan) kepada petani, yang bawa backhoe (jengkaut), ekskavator (jentolak) dan sebagainya," kata Radzi.
#Dewan Rakyat #lembu kenyang #kebajikan #rakyat
;