UNGCMYB lancar akademi pembangunan perniagaan mampan buat sektor swasta

Fareez Azman
April 13, 2023 21:17 MYT
UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) melancarkan akademinya sendiri bagi membantu meningkatkan pembangunan perniagaan di negara ini.
KUALA LUMPUR: UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) melancarkan akademinya sendiri bagi membantu meningkatkan pembangunan perniagaan di negara ini.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Saraswathy Kandasami, menerusi akademi itu dijangka mereka bentuk bengkel latihan memenuhi keperluan syarikat swasta.
"Pelancaran Akademi UNGCMYB amat signifikan dalam mempromosikan pembangunan mampan di wilayah ini.
"Akademi ini akan memainkan peranan penting dalam memajukan pembangunan mampan dengan menyediakan platform untuk perkongsian pengetahuan, pembinaan kapasiti dan kerjasama di kalangan perniagaan, masyarakat sivil, ahli akademik, dan kerajaan setanding dengan Alam Sekitar, Sosial dan
Tadbir Urus (ESG).
"Seperti kita sedia maklum, ESG adalah satu kriteria yang syarikat gunakan dalam menilai prestasi dan kesan terhadap alam sekitar, masyarakat dan tadbir urus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Akademi UNGCMYB di ibu negara pada Khamis.
Menerusi akademi itu, tiga program keupayaan kemampanan ditawarkan antaranya Program Permulaan ESC untuk PKS, Program Pengurus Kelestarian Bertauliah dengan Pusat Pengajian Perniagaan Monash University Malaysia dan Program Eksekutif Kelestarian Bertauliah dengan Universiti Teknologi Malaysia.
Akademi tersebut turut mendapat sokongan Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia), Tata Consultancy Services Malaysia (TCS Malaysia) dan Rantau PR Sdn Bhd.
Dalam majlis itu, turut dimeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UNGCMYB dengan Universiti Malaya (UM) dan Univesiti Teknologi Malaysia (UTM).
Turut hadir menyaksikan pelancaran itu, Penyelaras Residen PBB untuk Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Karima El Korri.
#UNGCMYB #akademi #ESG #Saraswathy Kandasami
;