UNGA78: Malaysia gesa tanggungjawab bersama, rapatkan jurang SDG

Harits Asyraf Hasnan
September 19, 2023 01:50 MYT
Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia telah mengetengahkan beberapa inisiatif untuk merancakkan tindakan matlamat pembangunan mampan termasuk pembasmian kemiskinan dan peralihan tenaga yang adil.
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa keperluan tanggungjawab bersama untuk merapatkan jurang perbezaan di antara negara-negara Selatan dan Utara demi memastikan tiada sesiapa yang terpinggir dan tertinggal.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia telah mengetengahkan beberapa inisiatif untuk merancakkan tindakan matlamat pembangunan mampan (SDG), termasuk pembasmian kemiskinan dan peralihan tenaga yang adil.
"Penyelesaiannya terletak pada dasar yang kukuh untuk mempercepatkan tindakan yang mantap. Inisiatif Malaysia untuk meningkatkan tindakan termasuk rangka kerja ekonomi MADANI untuk memulihkan ekonomi kita melalui rangkaian perlindungan sosial, pekerjaan dengan gaji yang bermakna dan perkongsian kekayaan untuk membina masyarakat yang lebih adil dan makmur.
"Pembasmian kemiskinan tegar menjelang tahun ini adalah keutamaan tertinggi kami. Kami berhasrat untuk mencapainya melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat yang akan meningkatkan pendapatan masyarakat B40 melalui keusahawanan pertanian, makanan dan perkhidmatan.
"Kami berhasrat untuk mengurangkan pergantungan isi rumah miskin kepada bantuan tunai langsung; dan meningkatkan keselamatan makanan melalui amalan pertanian mampan," kata beliau ketika menyampaikan Kenyataan Malaysia semasa Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2023 seiring Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 di New York, Amerika Syarikat, pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan SDG perlu meresap ke akar umbi untuk memastikan kemajuan dipercepatkan di semua peringkat.
Justeru, Malaysia, katanya, mengguna pakai pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) untuk menyetempatkan SDG dengan penyertaan aktif daripada semua pihak.
"Sasaran jangka pendek kami adalah untuk mencapai 30 peratus Kajian Setempat Sukarela (Voluntary Local Review) menjelang 2025.
"Kami masih menghadapi cabaran, terutamanya dalam pembiayaan dan penggemblengan sumber yang merupakan pemboleh utama untuk meningkatkan usaha ke arah SDG.
"Oleh itu, kami bekerjasama dengan PBB untuk menubuhkan Dana Amanah MySDG untuk menyokong projek strategik dan berimpak tinggi kami untuk SDG," ujarnya.
Zambry bersama delegasi Malaysia berada di New York ketika ini bagi mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyampaikan kenyataan negara semasa sesi Debat Umum UNGA78 pada Jumaat ini.
#Malaysia #Matlamat Pembangunan Mampan #UNGA #Zambry Abdul Kadir