UNGA ke-78: Visi PBB terus diketepikan, dunia semakin jadi 'minilateral' - PM Anwar

Astro Awani
September 22, 2023 23:36 MYT
Kata Anwar, visi penubuhan PBB yang diasaskan sejak lapan dekad lalu seolah-olah hancur akibat tindakan kuasa besar yang memilih platform lain sekali gus memberi impak kepada negara kuasa kecil. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dunia ketika ini semakin menjadi 'minilateral' selepas negara-negara kuasa besar terus mengetepikan platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tegas, visi penubuhan PBB yang diasaskan sejak lapan dekad lalu seolah-olah hancur akibat tindakan kuasa besar yang memilih platform lain sekali gus memberi impak kepada negara kuasa kecil.
"Apabila Perhimpunan Agung ini diasaskan hampir 80 tahun lalu, dunia masih lagi berkisar tentang kejadian bencana pertumpahan darah, yang setiap negara telahpun putuskan agar ia tidak lagi berulang.
"Satu keputusan - dengan kebijaksanaan, hasrat dan cita-cita yang besar - telah dibuat supaya Perhimpunan Agung menjadi pentas perundingan utama, penggubalan dasar dan perwakilan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya sambil menambah, keputusan itu dimanifestasi seiring pendirian yang kuat dan berani.
Anwar mengingatkan tentang peranan Perhimpunan Agung yang seharusnya memberi suara kepada setiap negara berdaulat di dunia, selari dengan visi para pengasas PBB mengejar dunia yang lebih demokratik, saksama dan adil.
Tegasnya, ia adalah visi yang berkait dengan isu pemangsaan yang kuat ke atas yang lemah, yang kaya dan berkuasa atas orang miskin, dan orang terpinggir, dan orang kuasa besar ke atas yang lain.
"Visi itu, pada pendapat saya, telah hancur berkecai.
"Hari ini, kita dapati bahawa kuasa besar dan mereka yang bercita-cita mengejar status antarabangsa yang lebih tinggi semakin mengetepikan PBB lantas memilih platform yang lebih kecil yang kononnya lebih berkesan.
"Ketika kuasa-kuasa besar terus memberi sokongan kepada imperatif multilateralism, kita melihat kemunculan minilateralisme pula, yang secara efektif menuju kepada perpecahan kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York pada Jumaat.
#UNGA #Anwar Ibrahim #minilateral #perpecahan kuasa
;