UNGA ke-78: Ucapan PM Anwar tak patut jadi bahan politik - Zambry
Hasimi Muhamad
Oktober 4, 2023 21:52 MYT
Oktober 4, 2023 21:52 MYT
KUALA LUMPUR: Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 baru-baru ini tidak sepatutnya dikaitkan dengan politik.
Sebaliknya, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, sudah tiba masanya masyarakat dan ahli politik membezakan suara pemimpin yang mewakili negara ke pentas antarabangsa dengan politik kepartian.
Jelas beliau Kenyataan Negara yang disampaikan Perdana Menteri disifatkan baik tetapi malangnya dijadikan bahan kempen politik oleh segelintir pihak.
"...dengan usaha-usaha dilakukan untuk mewujudkan persepsi yang buruk kerana mereka mengganggap bahawa kemunculan Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) berada di pentas antarabangsa akan mengaburi kedudukan mereka, (atau) pandangan terhadap mereka (pembangkang).
"Jadi saya fikir sudah masanya kita melangkaui soal-soal pilitik. Malang sekali, apabila kita balik (dari New York) kita mendengar ucapan-ucapan yang begitu menyedihkan bagi saya. Umpamanya apabila Perdana Menteri selepas sahaja menyampaikan ucapan di UNGA, beliau dijemput memberi khutbah dan bukan minta," katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Rabu malam.
Begitu pun, Zambry berkata jemputan untuk Anwar menyampaikan khutbah Jumaat di sebuah masjid di New York, turut dimanipulasi dalam ceramah politik.
"Saya pun terkejut... sebab khutbah kan satu benda rukun dalam solat Jumaat dan bagaimana khatib nak digambarkan begitu ini (kononnya sedang bohong masyarakat di New York). Bagi saya, usaha-usaha yang cuba dilakukan ini (adalah cubaan) merosakkan personaliti. Bagi saya, ia agak keterlaluan," tambah beliau.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, beliau tidak mahu bersikap berat sebelah dalam memberikan penilaian terhadap ucapan Anwar di UNGA ke-78.
Bagaimanapun, beliau berkata respons yang diberikan oleh perwakilan di dalam dan luar dewan adalah sangat memberansangkan, selain ia diakui sendiri oleh bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar yang berpengalaman mengikuti persidangan tahunan berkenaan.
"Selepas ucapan menjadi tradisi bagi pemimpin-peimpin yang ucapan mereka itu diterima, di belakang pentas turut juga mereka (perwakilan) beratur (untuk bertemu).
"Saya tidak mahu membandingkan walaupun kita tahu ada yang membanding pemimpin sekarang dengan pemimpin sebelum ini. Saya lebih suka melihat bagaimana pemimpin Malaysia ini diangkat.
"Kita tak perlu bandingkan dulu dan sekarang, tetapi yang paling mustahak apabila ada pemimpin Malaysia yang menyampaikan (Kenyataan Negara), ada sambutan yang baik dan rasa hormat masyarakat antarabangsa kepada ucapan seorang pemimpin Malaysia," jelasnya.
Ia merupakan kemunculan sulung Anwar selaku Perdana Menteri pada pentas UNGA ke-78.