UNGA ke-78: PM Anwar sampai Kenyataan Negara jam 9.30 malam ini
Hasimi Muhamad
September 22, 2023 15:10 MYT
September 22, 2023 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada pukul 9.30 malam ini.
Menurut Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, antara intipati yang akan disuarakan Malaysia ialah mengenai usaha negara dalam menangani krisis iklim untuk mencapai Agenda 2030.
"Selain itu, turut akan disentuh ialah berkaitan pelan hala tuju negara di bawah rangka kerja Malaysia MADANI serta beberapa lagi isu global," kata Perdana Menteri dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Ucapan Kenyataan Negara boleh disaksikan secara langsung melalui saluran media tempatan dan Facebook.
Mengikut giliran debat umum sesi pagi yang dijadual bermula pukul 9 pagi waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia), Malaysia berada di giliran keempat daripada 16 negara.
Debat umum tersebut akan bermula dengan Republik Macedonia Utara; Israel dan Mauritius; disusuli Malaysia; Malta; Belanda; Pakistan dan Barbados.
Lapan lagi negara ialah Thailand; Andorra; Saint Lucia; Fiji; Luxembourg; Bangladesh; Iraq serta Antigua and Barbuda.
Anwar yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di New York pada Rabu lalu bagi menyertai pemimpin-pemimpin dunia menghadiri UNGA ke-78.
Ini adalah kemunculan pertama Anwar sebagai Perdana Menteri pada perhimpunan tahunan tersebut.
Tema perbahasan umum tahun ini Membina semula kepercayaan dan menghidupkan semula perpaduan global: Mempercepatkan tindakan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah keamanan, kemakmuran, kemajuan dan kemampanan untuk semua.
Sepanjang di New York, Anwar disertai Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan beberapa Ahli Parlimen serta pegawai kerajaan.