UNGA ke-77: Negara peserta konvensyen perlu ambil lebih ramai pelarian - PM Ismail Sabri

Nailah Huda
September 23, 2022 06:25 MYT
Ismail Sabri berkata walaupun tidak menandatangani konvensyen tersebut, Malaysia telah menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya -atas dasar kemanusiaan-. -Bernama
NEW YORK: Negara-negara peserta Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967 bertanggungjawab mengambil lebih ramai pelarian di negara masing-masing, terutamanya pelarian etnik Rohingya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ujarnya, walaupun tidak menandatangani konvensyen tersebut, Malaysia telah menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya “atas dasar kemanusiaan”.
“Malaysia amat menekankan peri pentingnya dunia menangani punca utama krisis Rohingya.
"Saya percaya bahawa isu ini tidak akan diselesaikan selagi krisis di negara tersebut berterusan,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77 pada Jumaat waktu tempatan.
Situasi ini, katanya, bertambah buruk apabila krisis politik di Myanmar masih tidak menunjukkan tanda reda dan badan yang bertanggungjawab seperti Majlis Keselamatan dilihat gagal mengambil langkah serius bagi menangani krisis berkenaan.
“Malaysia kecewa dengan situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa pada bulan Februari 2021.
“Amat mendukacitakan, apabila Majlis Keselamatan tidak mengambil sebarang tindakan serius dalam menangani situasi ini.
"Malah, ada yang melihat Majlis Keselamatan lepas tangan dan menyerahkannya kepada ASEAN,” tegas beliau.
Tambahnya, Malaysia kecewa tiada kemajuan bermakna dilihat dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN, terutamanya oleh pihak junta Myanmar.
Justeru, Ismail Sabri menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara ASEAN tidak boleh diteruskan lagi, sebaliknya diberikan nafas baharu berdasarkan rangka kerja, jangka masa dan matlamat akhir yang lebih jelas.
Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menganjurkan mesyuarat bersama delegasi Myanmar, termasuk perwakilan daripada Kerajaan Perpaduan Negara (NUG) bagi membincangkan perkembangan terkini di negara itu.
Beliau mengulangi gesaannya supaya ASEAN membabitkan diri dengan NUG serta berusaha untuk membentuk suatu rangka dengan matlamat akhir yang lebih jelas.
#ismail sabri yaakob #UNGA #Rohingya #Konvensyen Status Pelarian 1951
;