Undian: Ramai mahu denda kurang RM1,000 jika ingkar arahan asing sisa pepejal

T K Letchumy Tamboo
Julai 19, 2015 18:56 MYT
Abdul Rahman (gambar) memberi jaminan denda RM1,000 merupakan kadar paling maksimum. -Foto Bernama
Rata-rata pembaca portal Astro AWANI yang mengambil bahagian dalam undian berhubung nilai denda yang patut dikenakan kepada mereka yang ingkar dengan arahan mengasingkan sisa pepejal memilih kadar yang kurang daripada RM1,000.
Undian tersebut mendapati 64.98 peratus mengundi untuk nilai RM1,000, manakala 16.46 peratus pula mahu denda yang dikenakan menjangkaui nilai RM1,000, iaitu di antara RM1,000 ke RM5,000.
Sebanyak 15.61 peratus pula ingin melihat denda yang dikenakan melebihi RM10,000.
Walau bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Luar Bandar, Datuk Abdul Rahman Dahlan memberi jaminan bahawa denda RM1,000 merupakan kadar paling maksimum.
“Kompaun adalah kadar lebih kecil. Pada mulanya kita menjangkakan apabila kempen kesedaran awam dibuat pada Jun tahun ini, 1 Januari (2016) kita akan mengeluarkan notis peringatan dahulu, bukannya kompaun.
“Hanya pada bulan-bulan berikutnya, bila kita sudah beri peringatan, barulah dikenakan kompaun jika masih enggan mematuhi. 1 Januari (2016) itu pun kini ditolak ke 1 Julai (2016)," kata beliau.
Tambah beliau, pihaknya mendengar keluhan ramai yang masih belum memahami pelaksanaannya.
“Ramai masih mengatakan masih tidak cukup masa untuk memahami, kami mendengar keluhan mereka. Kami akan menerangkan isu ini ke peringkat akar umbi,” katanya lagi.
Berkuat kuasa September tahun ini, kerajaan akan mewajibkan pengasingan sisa pepejal isi rumah secara berperingkat dalam usaha mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan yang semakin meruncing.
#pengasingan sisa pepejal #Rahman Dahlan #undian
;