Undian online, wajarkah mayat Chin Peng dikebumikan di Malaysia?
T K Letchumy Tamboo
September 16, 2013 06:49 MYT
September 16, 2013 06:49 MYT
Kematian bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng meraih pelbagai reaksi daripada pemimpin negara serta rakyat, dimana ada diantara mereka meletakkannya sebagai seorang pejuang dan ada pula yang menganggap dia sebagai pengkhianat negara.
Antara mereka yang masih lagi menentang Chin Peng serta kehadirannya di Malaysia walaupun telah meninggal dunia ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata Chin Peng tidak boleh diterima sebagai seorang pejuang kemerdekaan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Dia adalah ketua pengganas komunis. Kematiannya memanggil rasa kebencian kepada balu-balu anggota polis dan tentera yang terbunuh semasa darurat,” katanya kepada Astro Awani.
Turut berkeras bahawa mayat Chin Peng itu tidak boleh dibenarkan untuk menjejak tanah Malaysia ialah pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ibrahim Ali.
Ibrahim berkata Chin Peng sewajarnya mati sejak dahulu lagi.
“Sejarah manusia seperti Chin Peng mesti dipadamkan daripada sejarah, daripada diketahui oleh rakyat terutama generasi muda.
"Ada juga sejarah peristiwa hitam yang patut diketahui oleh masyarakat untuk pengajaran, tetapi tidak sejarah penganas dan penjenayah yang merosakkan negara.
"Elok lupa sajalah Chin Peng ini,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin juga berkata beliau tidak akan bersetuju sama sekali untuk mayat Chin Peng dibawa kembali ke Malaysia.
Walaubagaimanapun, ada juga orang yang berkata perjuangan Chin Peng untuk kemerdekaan negara harus diingati.
Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dalam mesej Twitternya hari ini berkata kematian Chin Peng menandakan berakhirnya sebuah era.
Katanya, samada seseorang itu setuju dengan ‘perjuangan’ Chin Peng atau tidak, tempatnya dalam sejarah tetap terjamin.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata sekiranya kerajaan tidak membenarkan mayat Chin Peng dibawa kembali ke Malaysia, masyarakat Cina di Malaysia tidak akan melupakan perkara itu selama-lamanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin membuat keputusan bahawa mayat Chin Peng tidak akan dibenarkan dibawa balik ke Malaysia.
Najib berkata bekas ketua komunis itu akan diingati sebagai pemimpin pengganas yang terlibat melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat dan serangan ke atas pasukan keselamatan.