UNDIAN: Lebih separuh kata 'tak sanggup' tinggal dalam rumah mikro
Hafiz Marzukhi
Februari 8, 2018 07:18 MYT
Februari 8, 2018 07:18 MYT
Pada Rabu, Astro AWANI menyiarkan berita mengenai rumah mikro dan konsep 'communal living'.
Untuk mendapatkan pandangan orang ramai, satu undian diadakan di Twitter untuk melihat sejauh mana idea ini diterima warga Malaysia.
Keputusan berdasarkan undian yang dijalankan selama sehari menunjukkan 58 peratus mengatakan tidak kepada idea ini sementara 42 peratus menerimanya.
Rata-rata orang ramai berpendapat idea ini mungkin sesuai bagi menyelesaikan masalah gelandangan di negera ini tetapi kurang sesuai untuk keluarga yang besar.
Namun, ada yang berpendapat konsep ini boleh diterima bagi individu yang membuat pilihan untuk mendiami rumah yang lebih kecil dengan kos yang lebih rendah
Sebelum ini sempena Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9, Think City bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah memuatkan satu eksperimen sosial berkaitan keperluan asas ini di Medan Pasar, ibu negara.
Konsep 'communal living' merupakan satu konsep yang mungkin asing bagi sesetengah orang. Namun, secara ringkasnya, ia merupakan konsep perkongsian ruang tempat tinggal.
Oleh itu, Think City mengambil keputusan untuk mencuba konsep ini melalui pendekatan micro house atau rumah mikro.
Kebiasaannya, rumah mikro berukuran lebih kurang 250 hingga 350 kaki persegi dan direka secara minimalis untuk memastikan setiap ruang digunakan secara efisen.