Undian AWANI: Rakyat terganggu politik berterusan hingga ketepikan denyut nadi rakyat

Astro Awani
Jun 3, 2020 19:00 MYT
Mungkin ramai berkata: 'Sudah-sudahlah berpolitik, fokuslah kepada isu rakyat, bantu ekonomi negara tatkala kita sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.' - Gambar hiasan
Keghairahan, kerakusan segelintir pemimpin negara yang terus berpolitik tanpa mengira masa mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.
Mungkin ramai berkata: “Sudah-sudahlah berpolitik, fokuslah kepada isu rakyat, bantu ekonomi negara tatkala kita sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.”
Memahami keluhan rakyat, Astro AWANI melalui empat platform media sosialnya melakukan pungutan suara melibatkan warga maya. Kali ini, ia berkisar kepada politik, ekonomi dan adakah rakyat terganggu dengan cerita politik yang tiada noktahnya.
Berikut adalah soalannya: “Adakah anda terganggu dengan keadaan dan senario sekarang di mana terdapat lebih banyak berpolitik berbanding mengetengahkan soal ekonomi dan denyut nadi rakyat?”
Pungutan suara tersebut bermula pada jam 5 petang Selasa dan berakhir selepas 24 jam.
Berdasarkan pungutan suara dalam keempat-empat medium tersebut, lebih 90 peratus responden menjawab ‘Ya’, membawa maksud rakyat sememangnya terganggu dengan keadaan sekarang di mana lebih banyak politik berbanding ekonomi dan denyut nadi rakyat.
Di Facebook, 91 peratus daripada lebih 14,000 responden mengakui berasa terganggu dengan senario politik semasa dan hanya sembilan peratus daripadanya berpendapat sebaliknya.
Sumber Facebook astroawani
Bagaimanapun seorang pengguna Facebook dengan nama Anis Sina berkata, dia tidak terasa terganggu dengan situasi tersebut kerana jika tiada ‘drama politik’ maka bosanlah musim COVID-19 di Malaysia.
“Tak terganggu pun. Kalau tiada drama ini, bosanlah musim COVID-19 di Malaysia. Artis pun tengah tak berlakon, elok sangatlah ada drama politik ini,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna yang menggunakan nama Hamidah Mohd Ali berkata, kerajaan sedang berusaha mengatasi COVID-19 namun ada sebahagian pihak masih sibuk mahu berpolitik.
“Kerajaan sedang berusaha dengan COVID-19, nak meluruskan ekonomi, bantu rakyat tapi sebahagian manusia yang tamak haloba dengan kuasa sibuk berpolitik.
“Bukan nak menjaga kebajikan rakyat tapi mereka nak jaga utuhnya diri sendiri dan mahu melebarkan sayap. Sedangkan kebajikan rakyat sejak dulu dipandang remeh,” katanya.
Di saluran YouTube, seramai 18,600 (93 peratus) daripada 20,000 responden menjawab ‘Ya’ manakala selebihnya menjawab ‘Tidak’.
Salah seorang pengguna, Su Arimi berkata, mereka sepatutnya menghentikan politik yang mementingkan diri kerana rakyat Malaysia sudah ‘sedar dari tidur yang lena’.
“Hentikan politik yang penting diri sendiri. Rakyat Malaysia semuanya agaknya sudah sedar dari tidur yang lena, mana yang baik dan mana yang istilah terburuk.
“Oleh itu satu kali lagi, fikir dan renung sejenak, inilah akibatnya jika tersalah pangkah,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Hafiz Sulaiman pula menulis: “Mengarut politik di Malaysia, makin menjadi-jadi. Naik muak dengan isu kleptokrasi, lompat katak, rasuah, perundangan, salah guna kuasa, isu dalaman parti dan lain-lain. Yang rugi, negara dan rakyat.”
Sementara itu di Twitter, hanya 11.9 peratus daripada lebih 3,600 responden memilih untuk menjawab ‘Tidak’ manakala selebihnya berasakan terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan.

Adakah anda terganggu dengan keadaan dan senario sekarang di mana terdapat lebih banyak berpolitik berbanding mengetengahkan soal ekonomi dan denyut nadi rakyat?#AWANItanya

— Astro AWANI (@501Awani) June 2, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam pada itu, seramai 1,690 responden di Telegram Astro AWANI mengundi ‘Ya’ manakala selebihnya tidak terkesan dengan senario politik semasa dalam negara.
#Astro #Astro Awani #ekonomi #Facebook #kerajaan #Malaysia #Media #politik #rakyat #rakyat Malaysia #Rasuah #Twitter #YouTube
;