#Undi18: Suara mahasiswa makin berbisa
Khairul Anwar Ahmad Nadzer
Ogos 5, 2019 23:47 MYT
Ogos 5, 2019 23:47 MYT
SOKONGAN mutlak Ahli Dewan Rakyat dalam meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan telah mencatatkan perkembangan yang amat menarik dalam sejarah demokrasi negara.
Pindaan perlembagaan ini telah memberi ruang kepada belia berumur 18 hingga 20 tahun untuk turut serta dalam proses pemilihan dan pembentukan kerajaan dan membenarkan belia umur 18 tahun untuk bertanding di dalam pilihan raya.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1.5 juta belia berumur 18-20 tahun adalah layak mendaftar sebagai pengundi pada tahun 2019.
Mengikut statistik yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, dianggarkan jumlah mahasiswa di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia adalah seramai hampir 220,000 orang pelajar.
Jika diamati, jumlah ini adalah sebenarnya amat besar terutama jika dilihat dari sudut pandang mereka sebagai pengundi. Jumlah kekuatan ini pada dasarnya dilihat mampu menghasilkan suara yang amat kuat dan berpengaruh, dalam agenda pembangunan politik dan sosial negara.
Bagi mengaitkan peranan mahasiswa dalam memartabatkan ilmu dan pembangunan sosial di alam pengajian tinggi dan ditambah pula dengan prinsip membangunkan masyarakat setempat, penulis ingin menghubungkaitkan isu yang dibincangkan ini dengan konsep bermastautin.
Menurut prinsip demokrasi, seseorang pengundi itu sebenarnya harus memilih atau mengundi di tempat mereka bermastautin. Bahasa mudahnya, tempat dimana mereka tinggal.
Prinsip ini juga adalah selaras dengan Pekara 119 Perlembagaan Persekutuan yang mana menyebut seseorang pengundi itu didaftar di tempat mereka bermastautin.
Jika diteliti, Peraturan 15 dibawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara juga mewajibkan seseorang itu menukar alamat kad pengenalan jika menetap di satu-satu tempat melebihi 90 hari.
Berlandaskan prinsip tersebut, timbul satu persoalan yang agak menarik minat penulis iaitu wajarkah institusi pengajian tinggi ini dikategorikan sebagai tempat bermastautin terutamanya institusi pengajian tinggi awam.
Sebagai contoh, mahasiswa Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu akan mengundi di bawah parlimen P171 Sepanggar.
Pendapat peribadi penulis, konsep ini adalah sebenarnya sangat baik terutama dari sudut pembangunan ilmu dan pembagunan modal insan seseorang mahasiswa.
Ianya begitu memberi kesan baik terhadap suara mahasiswa dalam memperjuangkan hak-hak keterbukaan mendapatkan ilmu disamping memperjuang hak-hak bagi pembangunan sosial mahasiswa dan universiti.
Umum mengetahui terdapat pelbagai isu yang diperjuangkan oleh mahasiswa antaranya berkenaan kebebasan akademik dan isu-isu melibatkan kebajikan di dalam kampus.
Jika sebelum ini suara mahasiswa hanya didengari sebagai seorang bakal pengundi, penulis amat pasni mengikut resam politik suara mahasiswa dalam memperjuangkan hak-hak mereka di IPT akan lebih didengari.
Tambahan pula, jumlah mahasiswa yang boleh menjadi penentu kemenangan sesuatu parti di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tersebut, pasti digeruni.
Selain itu, mahasiswa juga punya suara yang begitu kukuh dalam membantu memperjuangkan agenda isu-isu setempat.
Dewasa ini, kita sering dimomokan dengan istilah ‘mahasiswa lesu’ yang mana antaranya menyifatkan mahasiswa tidak cakna dengan pembangunan dan isu-isu setempat.
Jika diamati, sememangnya objektif sesebuah institusi pengajian tinggi ditubuhkan selain untuk menyediakan tempat bagi belia meraih ilmu, ia juga dikatakan mampu memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat setempat.
Maka, selain memperjuangkan isu kampus, isu-isu masyarakat setempat terutama yang bersifat pembangunan dan kebajikan dapat dijadikan sebagai sumbangan mahasiswa kepada penduduk di kawasan tersebut.
Ini dilihat dapat mengembalikan era kegemilangan mahasiswa yang disifatkan sebagai berada di puncak pada era 1990-an.
Jika kita ambil contoh dari sudut kuantitatif, bayangkan Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu yang mempunyai sekitar 10,500 orang mahasiswa kini akan melahirkan 10,500 orang pengundi di Parlimen Sepanggar.
Ini satu jumlah yang amat besar dari sudut jumla pengundi.
Justeru, suara mahasiswa ini difikirkan akan semakin mendapat perhatian.
Penulis bukan menidakkan suara mahasiswa juga didengari oleh pihak berwajib sebelum ini, tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa ramai antara mereka yang hanya ‘yang buat-buat dengar’.
Selain itu, penulis memikirkan ini juga adalah amat baik dari segi penjimatan kos.
Contohnya kepada mahasiswa, ini amat memberi peluang mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tanpa perlu pulang ke kampung halaman.
Bayangkan seorang mahasiswa daripada Lahad Datu, Sabah yang sedang menuntut ilmu di Universiti Islam Antarabangsa Kampus Kuantan, Pahang.
Mahasiswa tersebut terpaksa berbelanja besar jika ingin pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Lebih parah, keadaan ini akan memberikan ruang kepada unsur-unsur politik wang kerana tidak mustahil, ada parti atau calon yang bertanding akan menawarkan ‘duit minyak’ kepada mereka ini untuk pulang mengundi.
Pun begitu, penulis amat memahami bahawa terdapat beberapa kekangan dan kelemahan jika IPT ini dijadikan sebagai tempat bermastautin kepada pelajar.
Antaranya, ada yang menyifatkan ini sebagai tidak releven memandangkan tempoh mahasiswa berada di kampus
hanyalah 3 hingga 4 tahun berbanding kitaran pilihan raya umum pada setiap 5 tahun sekali.
Tidak ketinggalan, ada juga yang akan mengaitkan perkara ini sebagai strategi pihak tertentu untuk mewujudkan ‘fixed deposit’ untuk memenangkan sesebuah parti.
Ada juga yang risau mahasiswa kita nanti terpengaruh dengan agenda politik luar.
Ada juga yang risau mereka hilang fokus belajar dan hilang pedoman dan matlamat sebenar untuk mendapatkan ijazah.
Ia sememangnya benar, terutamanya kerana kita yang dewasa ini sering hilang kepercayaan kepada mereka walhal sebenarnya, ini adalah amat baik untuk pembangunan minda dan pembangunan modal insan mereka.
Secara tuntasnya, cadangan ini harus dilihat secara positif terutama dari sudut pembangunan sahsiah seseorang mahasiswa.
Ia bakal mewujudkan persekitaran mahasiswa yang cakna dengan isu-isu kampus dan isu-isu setempat di samping meraih ilmu akademik semasa alam pengajian tinggi.
Penulis juga tidaklah bermaksud jika IPT tidak dijadikan sebagai tempat bermastautin, suara mahasiswa ini tidak didengari oleh pihak berwajib, namun, kadangkala teringat juga pesan orang lama; Bersatu, kita teguh. Bercerai, kita roboh.
* Khairul Anwar Ahmad Nadzer merupakan graduan Sarjana Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, UiTM.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semstinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Dewan Rakyat
#Kota Kinabalu
#Kuantan
#Lahad Datu
#minyak
#Parlimen
#pemilihan
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#UiTM
#Undi 18