Undi18: Peluang damping golongan muda, bukan ancaman kedudukan politik - Sivarraajh

Astro Awani
Mac 26, 2021 21:35 MYT
Sivarraajh tidak mahu COVID-19 atau darurat sebagai alasan untuk menafikan hak anak muda. - Gambar MIC
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik perlu dilihat sebagai peluang untuk mendampingi golongan muda dan bukannya ancaman terhadap kedudukan politik parti pemerintah semata-mata.
Ketua Pasukan Khas Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional (BN), Datuk Sivarraajh Chandran menjelaskan, suka atau tidak, penglibatan anak muda dalam proses membuat keputusan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi.
"Kedua-dua agenda ini adalah sebahagian daripada proses pendemokrasian negara. Sebarang tindakan terkait pelaksanaan kedua-dua agenda ini sepatutnya hanya mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan hak orang muda sentiasa terjamin dan terpelihara.
"Kerajaan perlu melihat Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik sebagai satu kelebihan untuk mendekati dan meyakinkan pengundi muda yang sudah muak dengan perkembangan politik dalaman Pakatan Harapan (PH).
Barisan Nasional (BN) akan sentiasa menyokong sebarang usaha untuk memperkasa penglibatan, hak dan suara orang muda dalam proses pendemokrasian negara. Jangan disebabkan politik semata-mata, hak anak muda terus dinafikan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA: Kerajaan serah kepada SPR tentukan pelaksanaan Undi 18 - Takiyuddin
BACA: Kelewatan pendaftaran automatik, Undi18 mengecewakan - Mas Ermieyati
Pada Khamis, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, sekali gus menyaksikan ia tidak sempat dilaksanakan pada Julai tahun ini sepertimana jangkaan awal.
Katanya, tempoh tersebut dibuat selepas menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR termasuk penularan wabak COVID-19.
Dalam pada itu, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menyatakan rasa janggal dengan alasan yang diberikan SPR sedangkan pada 3 November 2020, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan bahawa kerajaan menjangka isu berkenaan akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.
"Adakah SPR tidak sedar pelaksanaan PKP akan menjejaskan kebolehan SPR pada ketika itu? Tindakan SPR ini tidak sama sekali mencerminkan komitmen kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Takiyudin yang mahu memperkasakan hak dan penglibatan golongan muda dalam membuat keputusan melalui pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik.
"SPR perlu lebih efektif dalam menangani isu ini. Saya faham pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini akan sedikit sebanyak menjejaskan kebolehan SPR namun, keadaan tersebut tidak sepatutnya
dijadikan alasan untuk menangguh pelaksaaan kedua-dua agenda tersebut.
"SPR perlu ingat bahawa pindaan Rang Undang-undang Perkara 55 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membawa kepada pelakasanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik ini telah mendapat persetujuan hampir semua Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara dari semua parti," ujarnya.
Katanya lagi, perkara itu sahaja cukup untuk memberi gambaran sebenar kepentingan melaksanakan kedua-dua agenda tersebut dengan kadar segera.
Tambahnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah memberi komitmen bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan dalam masa terdekat sejurus penularan wabak COVID-19 kembali reda atau pulih sepenuhnya.
"Mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang berjalan lancar, kita sepatutnya boleh menjangkakan PRU selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.
"Maka SPR juga perlu memastikan bahawa persiapan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik bergerak seiring dengan garis masa tersebut.
"Jika kelewatan ini disebabkan keperluan undang-undang, saya percaya terdapat ramai pakar perundangan di SPR dan Jabatan Peguam Negara yang mampu membantu menyelesaikan kekangan tersebut," katanya.
Sivarraajh juga tidak mahu COVID-19 atau darurat sebagai alasan untuk menafikan hak anak muda.
#PKP #PRU #Dewan Rakyat #Pakatan Harapan #MIC #pilihan raya #politik #COVID-19 #Undi 18 #Barisan Nasional #Peguam Negara
;