Undi18: Jabatan Peguam Negara bantah permohonan semakan kehakiman
Umavathi Ramayah
April 19, 2021 15:45 MYT
April 19, 2021 15:45 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara hari ini membantah permohonan semakan kehakiman 18 orang anak muda yang mewakili gerakan Undi18 terhadap Perdana Menteri, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Tinggi di sini.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, semakan kehakiman itu dibuat bagi menuntut dua deklarasi mahkamah iaitu tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18 adalah tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan dan merupakan pencabulan hak pengundi.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, bantahan itu dibuat atas alasan permohonan itu adalah pramatang selain remeh.
Selanjutnya kata beliau, pemohon juga gagal memenuhi penanda aras dan pindaan yang diperlukan undang-undang.
Menurutnya, mengikut fasal (b) (4) Perkara 119 Perlembagaan, seseorang dikehendaki untuk memohon bagi pendaftaran sebagai seorang pengundi dalam sesuatu pilihan raya pada ketika ini.
Beliau menjelaskan subfasal 3(b) bertujuan untuk meminda tarikh kelayakan perenggan (b) fasal (4) Perkara 119 untuk memberikannya maksud sebagai tarikh seseorang didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemilih dalam sesuatu bahagian pilihan raya.
Katanya, dengan pindaan itu apabila seseorang warganegara mencapai umur 18 tahun dan layak untuk mengundi dia akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.
"Sekiranya pindaan kepada ketiga-tiga perkara ini diluluskan dalam melaksanakan dan menguatkuasakan pindaan-pindaan tersebut, maka beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya (Peraturan), Akta 1954, Akta 5, Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 perlu dibuat," katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding di sini, pada Isnin.
Tambah Shamsul, sekiranya pendaftaran secara automatik dilaksanakan, maka secara dasarnya, banduan dan mereka yang kurang siuman juga layak untuk mengundi.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 6 Mei depan untuk pendengaran semakan kehakiman itu.
Pemohon diwakili peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.
Semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 2 April lalu oleh 18 anak muda.
Pada 25 Mac lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan Pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Beliau berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.