Undi18: Apa status pindaan had umur mengundi?

Nailah Huda
Februari 10, 2021 18:21 MYT
Undi18 mendesak agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen beliau dalam melaksanakan pindaan itu dan sama ada pelaksanaan tersebut benar-benar akan berlaku pada Julai 2021. Foto - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengundi Muda atau Undi18 mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menyatakan komitmen dalam melaksanakan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang meminda had umur mengundi ke 18 tahun.
Menurut Undi18, Perdana Menteri juga perlu menjelaskan sama ada pelaksanaan tersebut benar-benar akan berlaku pada Julai 2021.
“Anak muda Malaysia berhak menentukan sendiri masa depan politik tanah air, sekali gus memilih kerajaan yang bakal mentadbir negara.
“Ini termasuklah 7.8 juta bakal pengundi baharu yang sepatutnya dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih melalui pelaksanaan RUU yang telah dipinda tersebut,” tegas persatuan itu dalam kenyataan media pada Rabu.
Undi18 dalam masa sama tidak bersetuju dengan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim baru-baru ini bahawa kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini terlalu tergesa-gesa dalam membuat keputusan untuk melayakkan anak muda berusia 18 tahun menjadi pengundi secara automatik.
Memetik laporan Utusan Malaysia baru-baru ini, Rais berkata, tindakan tersebut dibuat hanya semata-semata bermotifkan politik, sekaligus meletakkan negara dalam situasi tidak menentu.
“Kami ingin mengingatkan beliau bahawa keputusan untuk meminda Perkara 119(1) berkenaan had umur mengundi merupakan satu keputusan dwipartisan yang telah dipersetujui sebulat suara oleh kesemua Yang Berhormat Ahli Parlimen pada 16 Julai 2019,” kata Undi18.
Tambah persatuan itu, pindaan tersebut juga diluluskan tanpa belah bahagi oleh Ahli Dewan Negara pada 25 Julai 2019.
Undi18 menegaskan keperluan mendesak untuk melaksanakan pindaan ini, lagi-lagi ketika anak muda berdepan dengan impak pandemik COVID-19 sehingga merekodkan kadar pengangguran belia paling tinggi sejak 1989 setakat bulan Disember 2020, iaitu 13.2 peratus.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa tarikh pelaksanaan pindaan itu dijangka selewat-lewatnya pada Julai 2021.
#Undi18 #had umur mengundi #pilihan raya #PRU #undi #Undi 18 #Persatuan Pengundi Muda #RUU #Parlimen #Rais Yatim #Takiyuddin Hassan #Belia #anak muda #politik
;