Undi belah bahagian: Apa yang akan berlaku? Nantikan... - Shafie Apdal

Isabelle Leong
Disember 15, 2020 09:30 MYT
SHAFIE: Kami nantikan. Walau apapun agendanya, ia mesti diuruskan di Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak memberi sebarang bayangan berhubung keputusan sama ada akan membuat undi belah bahagian atau sebaliknya pada bacaan Belanjawan kali ketiga pada Selasa.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata semua perkara berkaitan Parlimen harus diuruskan menerusi cara yang betul pada sidang Parlimen.
“Kami nantikan. Walau apapun agendanya, ia mesti diuruskan di Parlimen.
“Kami harus menguruskan sebarang isu di Parlimen dengan baik,” kata Ahli Parlimen Semporna itu dalam temu bual bersama program Consider This pada Isnin.
BACA: Tun M, Ku Li harap Ahli-ahli Dewan Rakyat tolak Belanjawan 2021
BACA: Bacaan kali ketiga Belanjawan 2021: Laluan sukar untuk kerajaan?
Bagaimanapun, beliau kesal dengan perubahan kepada peraturan di Parlimen yang didakwanya, semata-mata untuk memenuhi kehendak kerajaan yang memerintah.
“Apabila saya sampai di sini dari Sabah, saya perlu menjalani kuarantin di rumah untuk 14 hari, dan tidak boleh meninggalkan rumah.
“Sementara beberapa menteri kabinet dan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan yang merupakan kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dan sepatutnya menjalani kuarantin.
“Namun mereka boleh menghadiri Sidang Parlimen. Ia adalah sesuatu yang tidak betul,” katanya.
Beliau merujuk kepada keputusan yang diambil Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk membenarkan tiga Ahli Parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) bagi hadir pada sesi pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 Peringkat Jawatankuasa di Sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
BACA: Dewan Rakyat kecoh, tiga Ahli Parlimen 'muncul' dengan PPE
Tiga Ahli Parlimen tersebut ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan; dan P. Prabakaran (PH-Batu) diarahkan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).
Sebelum ini, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) konsisten dengan pendirian mereka untuk menolak Belanjawan 2021.
Mereka dalam satu kenyataan menegaskan bahawa mereka akan membuat undi belah bahagian pada bacaan Belanjawan 2021 kali ketiga pada Selasa.
#undi belah bahagian #Mohd Shafie Apdal #Belanjawan 2021 #Warisan #Pakatan Harapan #Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat #Tengku Razaleigh Hamzah #Dr Mahathir Mohamad
;