Undi awal: Pegawai, anggota polis diminta laksana proses demokrasi - KPN
Bernama
Ogos 7, 2023 17:02 MYT
Ogos 7, 2023 17:02 MYT
KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan pengundian awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, diminta melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata mengundi adalah hak yang diamanahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ditunaikan.
"Ini merupakan satu manifestasi kepada rakyat bahawa PDRM mendokong proses demokrasi dalam mengundi. Oleh itu, sila laksanakan akauntabiliti mengundi semua warga PDRM yang terlibat," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Polis Negara (KPN) sempena PRN di Bukit Aman di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan anggota dan pegawai polis yang terlibat dengan penugasan dalam tempoh kempen dan hari mengundi pada Sabtu ini agar melaksanakan amanah itu dengan penuh dedikasi dan berhemah.
"Warga PDRM diminta mengekalkan tahap profesional yang tinggi dan kawal emosi ketika berhadapan dengan sebarang bentuk provokasi," katanya.
Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundian awal akan melibatkan 49,660 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat PRN.
Bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal.
SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN di enam negeri serta PRK Kuala Terengganu pada 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari hingga 11.59 malam pada 11 Ogos.
-- BERNAMA