Undi 18: Jangan rampas hak anak muda - Shafie Apdal
Astro Awani
Mac 14, 2021 16:47 MYT
Mac 14, 2021 16:47 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat berdolak-dalik mengenai dasar Undi 18 seolah-olah memberi bayangan anak muda tidak penting dalam sistem demokrasi negara.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, hak untuk mengundi dan menjadi calon pilihan raya yang diturunkan kepada umur 18 tahun adalah hadiah terbaik kepada anak muda.
Malah tegas bekas Ketua Menteri Sabah itu lagi, pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik dapat memberi rangsangan kepada anak muda untuk turut sama menyumbang kepada membuat keputusan besar.
"Pelaksanaan pengundi secara automatik dapat memberi rangsangan kepada mereka (anak muda) terlibat dalam membuat keputusan seperti pembentukan kerajaan dan memilih kepimpinan negara.
"Dasar Undi 18 ini menemukan kejayaan pada 25 Julai 2019 selepas Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, 10 hari selepas ianya diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat.
"Namun, Kerajaan PN hari ini dilihat berdolak dalik dengan undang-undang ini walaupun ianya telah diwartakan pada September 2019," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mengeluarkan kenyataan bahawa kelayakan mengundi pada pilihan raya umum di usia 18 tahun tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Jelas Rais, ini kerana, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.
Selain itu, tambah Mohd Shafie, Kerajaan PN sepatutnya menggunakan peluang ini untuk menggalakkan 4.2 juta anak muda yang berusia 21 tahun dan ke atas yang dilaporkan layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Semporna itu juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tegas mengenai pelaksaan dasar Undi 18 tanpa dipengaruhi mana-mana pemimpin politik.
“SPR perlu mengadakan lebih banyak libat urus dengan semua pemegang taruh, termasuk pembangkang dalam kerangka untuk menjayakan Undi 18 ini," katanya.