Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin kesal tafsiran Shamrahayu
Astro Awani
Julai 24, 2022 23:32 MYT
Julai 24, 2022 23:32 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin kesal dengan tafsiran mengelirukan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Shamrahayu Ab Aziz mengenai kedaulatan pembesar-pembesar Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menzahirkan rasa dukacita dan kekesalan dengan tafsiran berkenaan.
"Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menzahirkan rasa dukacita dan kekesalan yang amat dalam dengan tafsiran mengelirukan, separuh masak dan tidak tuntas oleh Shamrahayu mengenai Perkara 181 yang menyentuh kedaulatan Pembesar-Pembesar Memerintah menerusi istilah 'Raja bagi Negeri Sembilan' dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Malah kenyataan beliau yang berubah dan tidak konsisten pada dua siaran itu cukup mengguris sensitiviti Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin selaku Raja bersama di Negeri Sembilan.
"Seyogia dimaklumkan, tafsiran Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan itu hendaklah dibaca bersama Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan; Fasal 6, Fasal 28 dan Fasal 79 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Perkara 66 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) untuk pemahaman lebih tuntas dan tepat.
"Tafsiran itu juga wajar mengambil kira amalan sistem beraja di Negeri Sembilan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin sejak Perjanjian Konfederasi Negeri Sembilan dimeterai pada 8 Ogos 1895," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu merujuk kepada pandangan disuarakan oleh Shamrahayu menerusi siaran 'Temu Bual Bicara Pakar: Sistem Pemerintahan Beraja Negeri Sembilan' di saluran YouTube Perpustakaan UiTM pada 8 Julai, dan video bertajuk 'Kedaulatan Hanya Milik Raja Pemerintah' di Facebook Kursi Institusi Raja-Raja Melayu pada 20 Julai 2022.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, turut menzahirkan rasa kecewa dan terguris dengan tindakan Shamrahayu yang tidak bersungguh-sungguh memperbetulkan kekhilafan yang dilakukan apabila dihubungi secara langsung menerusi aplikasi WhatsApp pada 22 Julai 2022.
Kenyataan itu juga menyebut, Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin telah memberi teguran terhadap UiTM dan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu supaya tidak lagi menyentuh secara semberono kedudukan Pembesar-Pembesar Memerintah yang menjadi sebahagian institusi Raja bagi Negeri Sembilan.