Undang-undang Syariah: Perspektif golongan moderat penting

Syafique Shuib
Disember 9, 2014 13:34 MYT
Penggubal undang-undang perlu mengambil kira pandangan mahzab Islam yang lain. - Gambar fail
Perspektif golongan moderat penting sebelum undang-undang Islam digubal, agar ia bukan sahaja mendapatkan pandangan yang berbeza tetapi menyeluruh.
Padangan itu disuarakan oleh peguam Nizam Bashir susulan surat terbuka yang ditandatangani oleh 25 bekas pegawai tinggi Melayu yang menyokong debat dan dialog terbuka berkenaan perundangan Islam.
“Dialog itu dapat memberikan pandangan yang berbeza. Ia sentiasa penting untuk mengetahui bahawa apabila kita cuba untuk memperkenalkan undang-undang khususnya dalam hal Islam, kita perlu tahu bahawa terdapat pandangan yang berbeza di luar sana.
"Kadang-kadang kita terlupa bahawa Islam terdapat empat mahzab. Apabila kita mengambil kira pandangan mazhab yang lain, ia akan memberikan pandangan yang menyeluruh dan berbeza tentang perkara tertentu. Ada kala apa yang penggubal undang-undang cuba memperkenalkan tidak mewakili pandangan keseluruhan yang berbeza,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah beliau, kini terdapat suara ekstremis yang bercakap tentang Islam dan mendakwa pandangan itu mewakili agama Islam.
“Itu adalah kebimbangan saya. Suara mereka tidak selaras dengan Islam dan mereka tentu sekali mewakili Islam. Itu kerana pentingnya agar suara moderat harus diketengahkan,” katanya.
Mengulas lebih lanjut tentang golongan moderat di Malaysia, Nizam berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai perlembagaan demokrasi sebagai asas utama.
“Perlembangan persekutuan memberi jaminan kebebasan dari bagaimana kita hendak berpakaian sehingga bagaimana kita menyatakan kepercayaan kepada agama masing-masing.
“Ia juga mempunyai ruang bagi mereka yang mahukan nilai-nilai agama. Malaysia merupakan negara demokrasi dan mereka mempunyai kebebasan dan pilihan,” tambahnya.
Surat terbuka yang diterbitkan pada 8 Disember antaranya menyentuh tentang kekecewaan beberapa bekas pemimpin Melayu tentang perbalahan berterusan berhubung kedudukan dan amalan undang-undang Islam di negara ini.
Mereka turut berkata bahawa perbalahan yang berlangsung sekarang ini tidak memberikan gambaran dan pemahaman yang jelas mengenai kedudukan undang-undang Islam dalam kerangka demokrasi berparlimen.
“Perlunya mempertingkatkan kesedaran mengenai kepelbagaian yang wujud dalam pentafsiran teks dan ilmu feqah.
“Ini termasuk kaedah-kaedah perundangan yang memungkinkan reformasi berlaku dan prinsip kesaksamaan dan keadilan ditegakkan, seiring dengan perubahan kini, khususnya dalam aspek tuntutan,peranan dan kedudukan wanita dalam keluarga dan masyarakat,” tulis mereka.
Antara yang mendatangani surat berkenaan adalah bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Datuk Abdul Rahim Haji Din; bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar; bekas Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican dan bekas Penolong Gabenor, Bank Negara, Datuk Latifah Merican Cheong.
Ia turut ditandatangani oleh berapa bekas duta Malaysia termasuk Datuk Dali Mahmud Hashim, Datuk Noor Farida Ariffin, Datuk Redzuan Kushairi dan Datuk Emam Mohd Haniff Mohd Hussein.
#golongan moderat #Nizam Bashir Abdul Kariem Bashi #undang-undang Islam