Undang-undang perlu dipinda sebelum wajibkan 2 suntikan vaksin - Dr Dzulkefly

Afiq Ariffin
Mac 9, 2019 18:29 MYT
DR DZULKEFLY: Perkara ini memerlukan pindaan undang-undang untuk menjadikannya mandatori. -Astro AWANI
Pindaan undang-undang sedia ada perlu dilakukan sebelum cadangan mewajibkan dua suntikan vaksin kepada kanak-kanak dapat dilaksanakan.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua vaksin tersebut ialah vaksin difteria dan MMR yang mampu merawat enam hingga tujuh penyakit lain di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).
“Dua vaksin itu sudah ada di dalam Program Imunisasi Negara (NIP), cumanya kita masih menimbang dan perlukan sokongan.
“Kita akan wajibkan dua vaksin dahulu iaitu vaksin difteria dan vaksin MMR. Walaupun hanya dua vaksin, sebenarnya kita dapat perlindungan enam penyakit seperti rubela, demam campak, beguk dan difteria.
“Perkara ini memerlukan pindaan undang-undang untuk menjadikannya mandatori dan kita perlu mengambil langkah cermat mengenainya,” kata Dr Dzulkefly ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan acara Gotong-Royong Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Cheras.
Jelasnya lagi, perkara itu juga akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Tambah beliau, kementeriannya juga akan membawa hal berkenaan pada persidangan Parlimen, namun bukan pada masa terdekat.
#aedes #beguk #demam campak #difteria #Dr Dzulkefly Ahmad #Kanak-kanak #Menteri Kesihatan #MMR #Program Imunisasi Kebangsaan #vaksin
;