Undang-undang khusus tangani kes hina mahkamah sedang dikaji - Takiyuddin

Bernama
Ogos 4, 2020 14:25 MYT
Takiyuddin berkata Jabatan Peguam Negara telah mengkaji perkara itu sejak tahun 2010 dan draf telah disiapkan pada 2013 serta dirujuk kepada pihak mahkamah. - Gambar fail
Kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menggubal undang-undang khusus bagi menangani kes-kes menghina mahkamah di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan .
Beliau berkata Jabatan Peguam Negara sedang menjalankan kajian dengan membuat perbandingan terhadap undang-undang di beberapa negara seperti di India, United Kingdom dan Singapura.
"Kerajaan juga akan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh yang berkepentingan mengenai perkara ini," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang khas bagi menangani kes menghina mahkamah yang kian meningkat terutama di media sosial.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Jabatan Peguam Negara telah mengkaji perkara itu sejak tahun 2010 dan draf telah disiapkan pada 2013 serta dirujuk kepada pihak mahkamah.
#Dewan Rakyat #kerajaan #mahkamah #media sosial #menteri #Peguam Negara #Perdana Menteri #Singapura #Takiyuddin Hassan #undang-undang #United Kingdom
;