Undang-undang khas bantu tangani isu lantikan jawatan dalam GLC - Fuziah

Madiha Abdullah
Mei 25, 2021 17:10 MYT
Kata Fuziah, tiba masanya satu undang-undang khusus berkaitan ditubuh dan dikuatkuasakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Isu berkaitan lantikan jawatan utama di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memerlukan satu reformasi dan ditambah baik dengan cara kembali semula kepada matlamat utama penubuhannya.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata, mungkin sudah tiba masa satu undang-undang khusus berkaitan ditubuh dan dikuatkuasakan demi menjaga kepentingan pemegang taruh.
"Kita tengok kuasa banyak berpusat kepada menteri Kabinet. Itu yang membuka peluang kepada salah guna kuasa.
"Tetapi menteri Kabinet ini perlu bagi memastikan kepentingan pemegang taruh dijaga dengan baik. Memang ada ruang untuk salah guna kuasa tetapi mereka juga ada tanggungjawab. Contoh semasa saya bersama Tabung Haji, saya bertanggungjawab secara terus, bagaimana nak jaga kepentingan jemaah yang sudah melabur.
"Sebab itu saya fikir kita perlu ada satu enakmen GLC bagi mengelakkan salah guna kuasa. Sebagus mana pun seorang Ahli Parlimen itu tetapi selagi dia masih pegang jawatan, dia tak boleh berada dalam GLC bagi mengelakkan kuasa tidak disalah guna," katanya.
Tambah Fuziah, membawa perubahan yang dimahukan tidak mudah kerana kerajaan perlu mempamerkan political will atau kehendak yang sangat tinggi bagi membolehkan transformasi yang lancar dan berkesan.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada majlis pelancaran Laporan Penambahbaikan Proses Lantikan Jawatan Utama GLC oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), pada Isnin.
Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi pula melihat masalah yang ada ketika ini tidak hanya berakar umbi daripada isu pelantikan tetapi lebih kepada kurangnya perhatian diberi terhadap penggunaan kuasa dalam akta yang diberi.
"Badan-badan berkanun setiap tahun letak laporan atas meja Ahli Parlimen, tetapi tak ada jawatankuasa yang menghalusi dan bertanya tentang perkembangannya. Itu kena diperbetulkan tetapi agak susah selagi tiada perubahan dalam cara Parlimen.
"Ahli Parlimen tidak sepatutnya ada dalam entiti yang mereka kuasai, mereka sepatutnya hanya duduk di sebelah mengawal selia perjalanan.
"Dalam banyak akta, kuasa yg diberi kepada menteri terlalu besar. Betul mereka menteri, patut ada kuasa tetapi tidak perlulah operational decision pun di bawah kuasa menteri," tambahnya.
Laporan yang ditulis oleh Ahmad Fikri Fisal dan dinaungi oleh BERSIH 2.0 dengan kerjasama Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) telah mengenal pasti beberapa masalah utama antaranya tidak menetapkan syarat ketat kepada individu yang akan dilantik sebagai pengarah, tiada garis panduan untuk pelantikan pengarah di peringkat berkanun (GLIC) dan perluasan “payroll vote” apabila wakil rakyat seperti anggota Parlimen dilantik sebagai pengarah.
"Walaupun ada kes yang didapati bahawa Eksekutif akan melantik orang kepercayaannya untuk membuat pemantauan, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjalankan objektif dasar awam yang penting, pelantikan ahli politik ke dalam GLC ini mesti dielakkan untuk meminimumkan konflik kepentingan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tricia Yeo.
#syarikat berkaitan kerajaan #GLC #Tabung Haji #Bersih #politik #kerajaan #undang-undang #Fuziah Salleh
;