Undang-undang cegah wakil rakyat lompat parti perlu digubal - Shafie Apdal

Dania Zainuddin
Ogos 7, 2020 17:07 MYT
Shafie Apdal mencadangkan supaya satu enakmen dapat diwujudkan bagi menghalang mereka daripada keluar dari kerajaan yang memerintah.
Undang-undang yang mencegah budaya lompat parti perlu dirangka bagi mengelak wakil rakyat terus 'dibeli' sehingga mengugat kestabilan politik di Sabah.
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mencadangkan supaya satu enakmen dapat diwujudkan bagi menghalang mereka daripada keluar dari kerajaan yang memerintah.
Malah Shafie berpendapat usaha untuk terus 'membeli' orang ini akan terus berlaku sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Sejak tiga bulan lalu saya sudah perhatikan situasi dan pergerakan mereka untuk membeli orang (wakil rakyat).
"Malah, mereka sanggup pergi rumah ke rumah dan menjanjikan wang dan jawatan. Ada juga wakil rakyat yang membuat laporan polis kerana terancam dengan pengintip yang mengekori mereka," katanya dalam rancangan radio Breakfast Grille BFM, pada Jumaat.
Walaupun negara ketika ini sedang berdepan pelbagai krisis, Mohd Shafie berpendapat keputusan untuk mengadakan PRN adalah yang terbaik.
"Saya rasa adalah lebih baik beri pilihan itu diberi kepada rakyat. Sudah tentu saya tidak suka untuk membubarkan DUN, tetapi saya yakin ini adalah cara yang betul," katanya.
#kerajaan #Ketua Menteri #menteri #Mohd Shafie Apdal #pilihan raya #polis #politik #rakyat #rumah #Shafie Apdal #undang-undang
;