Undang-undang bukan penentu perpaduan negara - Saifuddin

Astro Awani
September 19, 2014 17:08 MYT
Saifuddin (dua dari kanan) berkata undang-undang bukan penentu perpaduan negara. -Gambar Astro AWANI
Banyak aspek lain selain undang-undang yang harus diutamakan pihak berkenaan untuk memastikan perpaduan negara terjamin
Pengerusi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jaminan itu juga juga tidak boleh berlandaskan kepada keutamaan memansuh atau mengekalkan Asta Hasutan 1948 semata-mata.
Katanya, keutamaan mendidik dan memastikan kefahaman setiap rakyat perlu dilihat perkara pertama yang harus dipegang semua.
"Kerana itu kita mencadangkan satu prinsip yang lebih baik, kalau namanya bukan Akta Keharmonian Negara sekali pun, ia lebih baik dari apa yang orang lain buat.
"Kita berpegang kepada perpaduan dan bukan bergantung kepada undang-undang semata-mata, ada banyak perkara untuk tingkat perpaduan.
"Misalnya pendidikan yang kena pada tempatnya, kalau saya bincangkan pendidikan ia merupakan satu prioriti tetapi kena lihat juga kualiti pendidikan yang bagaimana untuk bantu dalam isu perpaduan," katanya.
Saifuddin berkata demikian semasa menjadi panel wacana anak muda "Perpaduan Malaysia; Dimanakan kita?" anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), di sini pada Khamis.
Wacana anak muda "Perpaduan Malaysia; Di manakan kita?" anjuran Gamis - Gambar Astro AWANI
Tambah Saifuddin, kualiti pendidikan juga harus diutamakan selain melihatnya satu platform yang boleh meningkatkan tahap perpaduan antara kaum dalam negara.
"Ada kata kita kena buang sekolah vernakular untuk kekal perpaduan, tapi apa buktinya.
"Sebagai contoh, anak Melayu di Galas, Kelantan... jika kita tutup sekolah vernakular jika ada di sana, apakah ertinya kepada perpaduan kerana kuantiti kaum lain yang sedikit di kawasan itu," ujarnya.
Jelasnya lagi, paling penting kini adalah mendidik pemikiran anak-anak tentang adanya kaum lain selain memahami keperluan masing-masing.
Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional belum lagi disediakan ketika ini dan kerajaan masih di peringkat perbincangan mengenai prinsip-prinsip asas yang akan dijadikan panduan untuk menggubal undang-undang itu.
Sementara itu, seorang lagi panel wacana, Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom menyifatkan definisi mengkritik harus dibeza dengan memberi pendapat untuk meningkatkan tahap kemajuan negara.
"Kita berbincang untuk menentukan idea mana yang lebih baik, idea yang lebih baik akan menentukan pendirian yang teguh dan kita perlu pertahankan pendirian tersebut," jelasnya.
Selain Dr Azmi, Pengerusi Negaraku, Zaid Kamarudin yang turut menjadi panel dalam diskusi berkenaan memberitahu isu perkauman sering menjadi pilihan muka hadapan akhbar.
"Ia menjadi tajuk utama akhbar jika isu ini timbul; isu perkauman ini juga diminati sehingga menjadi perhatian ahli politik.
"Tidak kira ahli politik di mana-mana pihak yang suka mengutarakan isu, sebagai contoh 13 Mei... nampak berani, tetapi sebenarnya mereka tidak berani... kalau berani buatlah," katanya.
Pada Selasa, Penaung Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Negara-Ku, Datuk S. Ambiga melihat tanggungjawab kerajaan seharusnya untuk memberi ruang kepada rakyat ke arah usaha memajukan negara, dan bukan melihat kritikan rakyat sebagai sesuatu yang berunsur hasutan.
Ujarnya, keharmonian antara kaum di negara ini juga dilihat sesuatu yang indah dan tidak boleh diganggu-gugat sebarang anasir luar.
#Azmi #GMMF #hasutan #kaum #keharmonian #Negaraku #Saifuddin #zaid
;