Undang-undang baru dirangka bangunkan semula PPR - Halimah

Hafiz Marzukhi
Februari 12, 2018 16:54 MYT
Pembangunan semula ini penting untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi memacu ekonomi setempat.
Kerajaan sedang merancang untuk mewujudkan satu perundangan baharu bagi membangunkan semula Projek-Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang lama supaya selari dengan agenda bandar baharu.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Sadique berkata kementeriannya sedang memperhalusi perkara tersebut dengan penasihat undang-undang.
"Kami masih berada di peringkat awal. Mungkin tidak sempat untuk bentangkannya di sesi Parlimen akan datang (pada Mac), mungkin sesi seterusnya," kata beliau.
Tambah Halimah, pembangunan semula ini penting untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi memacu ekonomi setempat.
"Kita lihat PPR yang dibangunkan pada 30 tahun lalu hanya mempunyai satu bilik. Ia tidak sesuai lagi sekarang.
"Selain itu, kita perlu pastikan projek perumahan yang dibina mampu menjana ekonomi dan bersifat inklusif," jelas beliau.
Halimah ditemui selepas memberi ucapan pembukaan ketika sesi tentang meletakkan perumahan sebagai pusat bagi pembangunan sosio-ekonomi di Forum Bandar Sedunia (WUF) kesembilan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada hari ini.
Dalam ucapannya, Halimah menekankan kepentingan perumahan sebagai enjin pertumbuhan sesebuah tempat.
"Melalui perumahan yang dibina, perniagaan-perniagaan juga akan membangun untuk memenuhi keperluan rakyat setempat. Oleh itu, perumahan adalah penting dalam pembangunan sosio-ekonomi dan perlu dirancang dengan rapi," kata beliau.
Selepas ucapannya, sesi perbincangan diteruskan dengan wakil dari beberapa negara seperti Argentina, Mexico dan Afrika Selatan.
#halimah sadique #KLCC #Kuala Lumpur #PPR #undang-undang
;