Undang-undang baharu bakal diperkenal lindungi ekosistem marin
Bernama
Disember 1, 2017 14:33 MYT
Disember 1, 2017 14:33 MYT
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang meneliti untuk memperkenalkan peruntukan khusus berkenaan perlindungan laut dalam usaha memelihara ekosistem marin dan terumbu karang.
Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata menerusi undang-undang yang sedang dirangka itu, tindakan lebih tegas akan diambil ke atas sesiapa yang didapati melakukan pencemaran laut dan mengancam ekosistem marin yang sensitif.
"Dalam undang-undang baharu itu nanti kita nak kenalkan konsep yang lebih ketat, iaitu kalau kita dapati seseorang itu misalnya menumpahkan minyak ke laut walaupun dia tak berniat untuk mencemari laut, tapi dia tetap mesti bertanggungjawab dan akan diambil tindakan tegas," katanya.
Wan Junaidi berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang di sini.
Menteri itu berkata kawasan perairan negara seperti Selat Melaka dan Selat Johor sememangnya sensitif dengan pencemaran dan mereka yang terlibat dengan aktiviti laut perlu mengambil berat tentang perkara itu.
Wan Junaidi berkata pemeliharaan ekosistem marin harus dijadikan keutamaan memandangkan kekayaan laut bukan sahaja memberi pelbagai manfaat kepada manusia tetapi laut itu sendiri mempengaruhi perubahan cuaca dan pemanasan global.
Kementerian, kata beliau, menjalin kerjasama dengan Australia dalam usaha memelihara terumbu karang dan hidupan marin.
"Kita telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Australia yang bersedia berkongsi kepakaran, teknologi baharu, memberi bantuan dari segi latihan dan untuk tujuan ini," katanya.
Beliau berkata kementeriannya sedang meneliti syor Australia berhubung penggunaan sejenis siput sebagai pemangsa semula jadi untuk mengawal populasi tapak sulaiman berduri yang menjadi perosak batu karang di Australia.
Mengenai pengurusan air, beliau berkata perancangan yang komprehensif adalah perlu bagi memastikan pengurusan yang lebih efektif dan mampan di negara ini.
Menurutnya rang undang-undang mengenai pengurusan air yang lestari yang sedang digubal juga akan melihat mekanisme lebih terurus dan efisien berhubung penjualan dan pemindahan air dari satu negeri ke negeri lain.
Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata Malaysia telah berjaya menepati semua kriteria ketat yang ditetapkan untuk memohon dana daripada Green Climate Fund (GCF) bagi tujuan melaksanakan projek mitigasi untuk mendepani perubahan iklim di negara sedang membangun.
GCF ditubuhkan oleh 194 negara yang menyertai Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada 2010, sebagai sebahagian mekanisme pembiayaan Konvensyen.
Malaysia berikrar untuk mengurangkan keamatan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020.
-- BERNAMA
#Australia
#batu karang
#ekosistem marin
#laut
#Memorandum Persefahaman
#pencemaran laut
#perosak
#tapak sulaiman berduri
#terumbu karang
#tumpah minyak
#undang-undang
#undang-undang perlindungan laut
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar