'Uncle Kentang' harap anugerah Komanwel cetus inspirasi lebih ramai terlibat aktiviti amal

Bernama
September 15, 2021 20:47 MYT
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay (kiri) menyampaikan sijil Anugerah 'Commonwealth Points of Light' daripada Ratu Elizabeth II sebagai perhargaan atas kerja amal sukarelawan Kuan Chee Heng (kanan). - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Aktivis sosial Kuan Chee Heng berharap Anugerah Komanwel Points of Light yang diterimanya akan membuka jalan dan mencetus inspirasi agar lebih ramai terlibat dengan aktiviti kebajikan.
Beliau berharap lebih ramai individu, organisasi bukan kerajaan dan syarikat korporat akan tampil menghulurkan bantuan bukan hanya kepada rakyat Malaysia tetapi juga pelarian dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) atas dasar kemanusiaan.
Kuan, 57, yang lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang' berkata penghargaan itu adalah untuk semua penderma dan rakyat Malaysia yang bekerja keras dan menyokong semua inisiatif yang dilakukannya.
"Saya berharap penghargaan antarabangsa yang ditandatangani Ratu England ini akan membuka jalan lebih banyak pihak tampil memberikan bantuan pada waktu yang sukar ini.
"Sekatan akibat pandemik ini, pelarian dan pemegang kad UNHCR turut terjejas," katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah itu.
Anugerah itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay di kediaman rasminya di sini hari ini, bagi pihak Ratu Elizabeth II.
Anugerah itu diberikan Ratu England, selaku Ketua Komanwel, kepada sukarelawan daripada 54 negara Komanwel sebagai pengiktirafan terhadap kerja-kerja sukarelawan.
Kuan, rakyat Malaysia keempat menerima penghargaan itu sejak dimulakan pada 2018.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini telah terlibat dalam kerja-kerja amal sejak 20 tahun lalu, termasuk membantu ramai pemegang kad UNHCR iaitu warga Afghanistan dan Rohingya.
Kuan berkata beliau dan pasukannya akan memulakan inisiatif menghantar perkhidmatan ambulans untuk mengangkut pesakit COVID-19 dari rumah mereka ke hospital terdekat di Lembah Klang, mulai esok.
Terdapat empat ambulans di bawah seliaan mereka setakat ini.
Selain itu, rundingan sedang dibuat dengan beberapa kerajaan negeri untuk membuka rumah penjagaan warga emas gaya resort dalam usaha memberikan kehidupan berkualiti dan kondusif kepada golongan itu secara percuma, katanya yang mula digelar Uncle Kentang sejak mengedarkan kentang kepada orang miskin.
-- BERNAMA
#Uncle Kentang #anugerah Komanwel #Kuan Chee Heng #aktiviti amal
;