'Uncle Deyy' imbau detik tercetusnya video viral
Asyraf Roslan
November 30, 2018 15:04 MYT
November 30, 2018 15:04 MYT
BEBERAPA hari lalu, sebuah video memaparkan seorang lelaki yang cuba menahan marah tular di media sosial.
Video pendek berdurasi 12 saat itu menunjukkan dia mengetap bibir sebelum dengan nada berang terpacul perkataan "Deyy!" dari mulutnya.
Individu yang digelar "Uncle Deyy" itu terus mencetuskan fenomena di media sosial apabila rakaman itu tular dan menjadi ikutan sehingga melahirkan beberapa video parodi.
"Uncle Deyy" telah berjaya dijejaki. Bercakap kepada Astro AWANI, individu yang mencetuskan fenomena itu, S Kanagarajah, 42, menceritakan punca terhasilnya video viral itu.
Menurut ahli perniagaan tersebut, dia berada di lokasi kekecohan Kuil Sri Maha Mariamman pada awal pagi Isnin untuk mengikuti perkembangan dari sana.
Kata Kanagarajah ketika itu dia berasa tertekan kerana sukar mendapatkan bantuan apatah lagi dengan suasana yang sangat tegang.
Menurutnya, ketika itu dia berasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku.
“Saya betul-betul kecewa dan sedih apabila melihat mereka yang sedang bersembahyang dipukul.
"Cuba anda bayangkan ada juga wanita dan juga orang tua yang berumur 60 tahun di sana, apa yang mereka boleh buat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Bercakap mengenai videonya yang tular itu, Kanagarajah berkata dia tidak kisah dengan video tular yang memaparkan dirinya itu.
Sehingga kini, video Kanagarajah terus mendapat perhatian dan mencuit hati masyarakat sehingga menjadi mencetuskan cabaran #Deyychallenge di media sosial.
Antara yang tampil dengan versi tersendiri #Deyychallenge ialah Tauke Jambu dan juga penyampai radio Era, Jaa Suzuran.