'Uncle, bawa saya pergi' - Mangsa dera rayu diselamatkan
Sinar Harian
September 18, 2022 08:20 MYT
September 18, 2022 08:20 MYT
AMPANG: "Uncle, bawa saya pergi, saya tak nak balik ke sini lagi."
Itu luahan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera semasa diselamatkan oleh penduduk di sebuah kondominium di Jalan Cahaya, di sini, pada Jumaat.
Penduduk kondominium berkenaan, Thinakaran, 48, ketika menceritakan kejadian itu berkata, mangsa yang berada dalam keadaan tidak bermaya dan kelaparan meminta untuk dibawa pergi dari rumah berkenaan kerana tidak tahan sering didera.
Menurutnya yang sudah 16 tahun tinggal di kondominium itu tidak pernah melihat kanak-kanak lelaki berkenaan bermain di taman permainan malah tidak mengenali keluarga mangsa.
"Semua budak-budak yang bermain di taman saya kenal sebab tinggal di tingkat bawah jadi bila hujan semua lari masuk ke rumah saya.
"Kalau ada 20 orang semua pun lari masuk rumah saya sebab mereka berkawan dengan anak dan selalu karaoke di rumah.
"Dua minggu lepas anak saya dan kawan-kawannya ada beritahu nampak mangsa kena ikat dalam keadaan berbogel di beranda dan kes itu dimaklumkan kepada persatuan penduduk
"Ketika temui kanak-kanak itu (pada Jumaat), mangsa beritahu pagi hari kejadian suspek ikat tangan dia guna tali kabel dan kunci mangsa dalam rumah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Thinakaran berkata, dia dan jiran di kediaman berkenaan tidak mendengar bunyi jeritan atau melihat sebarang kejadian mencurigakan berlaku dari rumah berkenaan.
Katanya, seluruh komuniti penduduk di situ terkejut dan tidak menyangka pasangan terbabit sanggup mendera anak kecil yang tidak bersalah dengan begitu teruk.
"Teruk budak itu kena, ada kesan cedera baharu dan lama," katanya.
Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun bertindak nekad melarikan diri melalui tingkap di tingkat empat sebuah kondominium di sini selepas dipercayai didera dan dikurung.
Susulan itu, polis menahan pasangan suami isteri warga tempatan dipercayai terlibat dalam kes penderaan berkenaan. -Sinar Harian