UMTJ, LKIM jalin kerjasama majukan sektor perikanan
Bernama
Januari 15, 2024 06:30 MYT
Januari 15, 2024 06:30 MYT
KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui anak syarikat milik penuhnya, UMT Jaya Holdings Sdn Bhd (UMTJ) menjalin kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membangun dan memajukan lagi industri perikanan Malaysia.
Pengerusi UMTJ Datuk Dr Din Adam berkata menerusi kerjasama itu pembangunan sektor perikanan menerusi teknologi dron, sensor Internet pelbagai benda (IoT) dan aplikasi (Super Apps) akan diperkenalkan serta diperkasakan terutama dalam aspek alam sekitar, tadbir urus, keselamatan, kesihatan dan sosial bagi peningkatan produktiviti.
Beliau berkata menerusi kerjasama itu juga kedua-dua pihak menyasarkan untuk menjadi pelopor penggunaan teknologi dalam sektor perikanan negara sekali gus memanfaatkan komuniti nelayan.
"Kerjasama ini merangkumi penyelidikan, perkongsian kepakaran, data dan teknologi moden yang mana tujuan utamanya termasuk ke arah pembangunan dan pengurusan perikanan negara yang mapan untuk manfaat komuniti nelayan.
"Pada masa sama inisiatif ini juga membolehkan UMTJ dan LKIM mempelopori penghasilan data besar, seterusnya membuat analisis lebih tepat agar maklumat dapat dikongsi dengan pihak berkaitan," katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMTJ dan LKIM, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil dan Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Mazlan Ghaffar.
Mengulas lanjut Din berkata usahasama tersebut dijangka melonjakkan 30 peratus produktiviti dan 25 peratus pendapatan nelayan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Kaedah konvensional yang diguna pakai oleh nelayan pada hari ini tidak memberi pulangan lumayan kepada mereka. Jadi, amat penting untuk taraf sosio ekonomi mereka ditingkatkan agar tidak ketinggalan daripada arus kemodenan," katanya.
-- BERNAMA