UMT bakal miliki rumah alumni bernilai RM2.2 juta

Bernama
April 27, 2024 04:39 MYT
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT Prof Mohd Izani Mohd Zain berucap pada Majlis Makan Malam Amal Alumni Bersama Prominent Industri malam tadi. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merancang memiliki rumah alumni sebagai pusat sehenti, bagi memperkukuh jaringan kerjasama dengan bekas pelajar, industri dan universiti.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata pihaknya menerusi Pusat Alumni UMT, giat mengumpul dana bagi membina fasiliti tersebut yang disasarkan beroperasi menjelang 2027.
Beliau berkata pihaknya memerlukan RM2.2 juta bagi pembinaan rumah alumni dengan keluasan bangunan 1,170 meter persegi yang dirancang dibina dalam lima fasa melalui pendanaan awam dan penajaan daripada industri serta alumni.
"Pembinaan dan pewujudan rumah alumni itu, sebagai pusat sehenti perkongsian kepakaran, maklumat dan industri alumni selain sebagai ruang bagi penganjuran aktiviti dan kegiatan aktiviti mahasiswa.
Rumah alumni dilihat mampu menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi dalam merealisasikan azam dan fokus terhadap pemerkasaan mahasiswa, sekali gus memperkukuhkan jaringan kerjasama alumni UMT, industri dan universiti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan penubuhan rumah alumni pada Majlis Makan Malam Amal Alumni Bersama Prominent Industry di sini malam tadi.
Mohd Izani berkata Rumah Alumni yang akan dikenali sebagai The Club House of UMT Alumni akan dibina bersebelahan rumah universiti di kampus UMT di Kuala Nerus, Terengganu.
-- BERNAMA
#universiti malaysia terengganu #umt #rumah alumni #Mohd Izani Mohd Zain