UMT agih sumbangan zakat RM1.3 juta kepada pelajar
Nur Fazlizai Ali
April 18, 2022 06:30 MYT
April 18, 2022 06:30 MYT
KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan sumbangan zakat sebanyak RM1.3 juta kepada seramai 2,000 pelajar.
Naib canselor UMT, Prof Datuk Mazlan Abd Ghaffar berkata sumbangan itu disalurkan melalui skim bantuan yang dilaksanakan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud.
Ia diberikan kepada golongan asnaf dan B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menurut Mazlan, turut diagihkan bantuan komputer riba kepada 100 pelajar tidak berkemampuan bagi membantu mereka menduduki pembelajaran secara hibrid.
"Jadi pemilikan komputer riba itu sebenarnya amat diperlukan bagi asnaf dan B40 jadi kita bantu sebanyak mungkinlah.
"Di UMT, 80 peratus daripada pelajar kita tergolong dalam kumpulan B40. Kita kena lihat daripada 80 peratus itu, berapa yang masih belum ada komputer riba. Yang belum kita cari dana. Kalau dana yang boleh kita cari, kita cari insyaAllah," katanya.
Dalam pada itu, seramai 85 orang pelajar yang terjejas banjir baru-baru ini di negeri Terengganu, Pahang dan Selangor menerima bantuan wang tunai sebanyak RM600 setiap seorang.