UMS tawar pengajian Asasi Pertanian sokong dasar SMJ
Fauzi Suhaimi
Februari 18, 2021 08:48 MYT
Februari 18, 2021 08:48 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sabah (UMS) proaktif menawarkan program pengajian Asasi Pertanian kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya kepada calon luar bandar dan kumpulan berpendapatan rendah (B40) di negeri itu.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr Rasid Mail berkata, usaha itu adalah agenda mewujudkan ekosistem kondusif untuk memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan mengeluarkan tenaga mahir, terlatih serta berkelayakan.
Menurut beliau, perkara itu antara hasrat slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mengangkat tema pertanian dalam agenda membangun negeri Sabah.
Katanya, faktor keluasan kawasan, kesuburan tanah, polisi dan dasar kerajaan, sistem sokongan, demografi masyarakat agraria, ekosistem pasaran dan lain-lain merupakan anugerah dan potensi yang perlu disokong olei sektor kerajaan, sektor swasta dan sektor ketiga.
“Program ini terbuka kepada lulusan SPM aliran sains dan sastera untuk mengikuti program selama dua tahun sebelum memasuki program pengijazahan Sarjana Muda Sains Pertanian.
“Matlamat utama adalah untuk mendapatkan dan menghasilkan calon pelajar yang betul-betul berminat dalam bidang pertanian, menghayati kepentingan dan potensi pertanian sebagai perniagaan.
“Bukan hanya untuk mengikis stigma kurang popular mengenai status sosial graduan dan pekerjaan sektor pertanian, tetapi juga melahirkan graduan yang lengkap dengan pengetahuan dan penguasaan teknologi yang perlu untuk perladangan, pertanian persis (precision farming) dan pengurusan moden,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Rasid berkata, pada masa ini, terdapat 27 pelajar kelompok pertama Asasi Pertanian yang menjadi pelopor langkah strategik ini.
Jelas beliau, mereka akan melalui program pengajian unik selama dua tahun yang digubal atas nasihat dan input industri, termasuk penempatan secara sepenuh masa selama enam bulan di ladang pertanian dan penternakan.
“Program ini sesungguhnya merupakan sumbangan UMS kepada agenda memperkasa sektor pertanian sebagai platform SMJ. Kehadiran dan penyertaan pelabur institusi dan individu dalam agenda SMJ juga merupakan pemboleh ubah yang mendapat perhatian istimewa.
“Bagi rakyat negeri Sabah, semasa kemelut pandemik COVID-19, pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebimbangan mengenai kelestarian bekalan makanan serta isu lambakan hasil pertanian adalah pengajaran yang sangat berguna.
“Justeru, kecenderungan pelabur untuk menyertai sektor yang lebih selamat dan lestari seperti pertanian dan perladangan merupakan peluang yang telah dimanfaatkan kerajaan negeri Sabah,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, sifat cakna kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor tentang keperluan ekosistem yang mesra pelabur merupakan kunci kejayaan SMJ.
“Sikap terbuka, telus dan prihatin kerajaan negeri telah membuka ruang dan kesanggupan para pelabur untuk bersama menyumbang kepada agenda SMJ.
“Diharapkan jentera kerajaan yang ada dari pelbagai agensi negeri dan pusat dapat menjiwai dan mendokong hasrat SMJ ini dengan memudah cara urusan para pelabur,” tambahnya.
#COVID-19
#pelajar
#pandemik
#PKP
#rakyat
#Universiti Malaysia Sabah
#Asasi Pertanian
#UMS
#pendidikan
#Sabah Maju Jaya