Umrah Sajat sah jika cukup syarat - Mufti Kelantan
Muhafandi Muhamad
Februari 4, 2020 14:17 MYT
Februari 4, 2020 14:17 MYT
Ibadah umrah yang dilaksanakan oleh usahawan kosmetik, Muhammad Sajad Kamaruzzaman yang berpakaian menyerupai wanita ketika berada di Tanah Suci, dianggap sah sekiranya mencukupi syarat.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berpandangan sepanjang ibadah umrah yang dilakukan itu Muhammad Sajad atau turut dikenali sebagai Sajat, melanggar tiga perkara iaitu tidak patuh dan taat kepada Allah selain tidak taat kepada peraturan yang ditetapkan dan mengikut fitrah yang ditetapkan.
“Umrah bila cukup syarat sah …tutup aurat, dia tawaf tutup aurat, sebab itu tajuk isunya tengok umrah dia, kalau tindakan dia itu di luar tabii, jadi bila luar tabii tidak dapat keredhaan Allah maknanya elemen Ubudiah sudah tiada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi yang melanda usahawan kosmetik popular yang mengenakan pakaian wanita ketika di Tanah Suci sehingga tular di media sosial.
BACA: Ingatan Mufti Wilayah untuk Sajat, umat Islam
Beliau menjelaskan soal Sajat berpakaian wanita itu adalah kesalahan lain, bagaimanapun, jika melihat dari segi ibadat, umrahnya adalah sah selagi dia menutup aurat dan cukup syarat.
Namun, jika melanggar tiga perkara berkenaan ketika menunaikan umrah, Mohamad Shukri berkata, ianya tidak mendapat keredaan Allah walaupun ramai yang mempersoalkan tentang hak asasi.
Dalam Islam, tegas beliau, hak asasi itu terpakai kepada mereka yang berada dalam fitrah yang ditetapkan oleh Allah.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, apabila Sajat menunaikan umrah, masyarakat mengharapkan dia mendapat keinsafan dan kembali ke pangkal jalan.
Walaubagaimanapun, Mohamad Shukri tidak menafikan tindakan yang dilakukan Sajat itu menjejaskan imej negara yang selama ini sentiasa dipuji sebagai jemaah yang berdisiplin.
#berpakaian menyerupai wanita
#elemen Ubudiah
#keredhaan Allah
#Mohamad Shukri Mohamad
#Muhammad Sajad Kamaruzzaman
#Nur Sajat buat umrah
#Nur Sajat di Mekah
#Ubudiah
#umrah