Umrah: Kerajaan harap syarikat pengendali kekalkan harga pakej - Nancy Shukri
Fareez Azman
Januari 21, 2022 18:46 MYT
Januari 21, 2022 18:46 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak dapat menghalang syarikat pengendali umrah dalam menaikkan harga pakej selepas penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dimuktamadkan pertengahan bulan depan.
Dalam masa sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan berharap agensi yang mengendalikan ibadah umrah dapat mengekalkan harga ditetapkan ketika ini.
"Kalau mereka (agensi pelancongan umrah) dapat membuat satu perancangan tidak semestinya menaikkan harga, mungkin mereka menjalankannya secara teratur bekerjasama dengan pihak Arab Saudi.
"Mungkin ada cara mengekalkan kos itu… ini adalah bisnes, mereka nak pastikan bisnes mereka laku dan bersaing sama sendiri, jadi mereka gunakan kreativiti sendiri lah," kata beliau kepada pemberita
selepas merasmikan Restoran Kedey Kamek di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Jumaat.
Tambah Nancy, Motac dan Kementerian Kesihatan Malalaysia (KKM) juga telah mengadakan sesi libat urus bersama syarikat pengendali umrah sebelum ini.
Menurut Nancy, dalam sesi itu, antara isu yang dibangkitkan pengendali umrah termasuk proses kuarantin, insurans dan bayaran balik yang harus dikendalikan mereka.
"Antara isu disebut pasal kuarantin, insurans, bayaran balik, ejen pelancongan yang harus mengendalikannya dan mereka (jemaah umrah) yang tidak divaksin. Itu ditangani oleh saya dan Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan),” kata Nancy lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Nance menegaskan, kerajaan bagaimanapun, tidak dapat mengawal hal-hal yang menyentuh dan bertentangan dengan polisi atau dasar negara lain.
Sebelum ini, Motac dan KKM dalam kenyataan bersama memaklumkan proses penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) akan dimuktamadkan pertengahan Februari ini.