Umrah: Harga lantai dijangka turun seiring kelonggaran SOP pada masa depan
Faris Danial Razi
Oktober 19, 2021 22:20 MYT
Oktober 19, 2021 22:20 MYT
KUALA LUMPUR: Harga lantai bagi ibadah umrah yang kini ditetapkan pada RM6,900 pasti akan dikurangkan, seiring dengan lebih banyak kelonggaran oleh kerajaan Arab Saudi apabila situasi COVID-19 semakin terkawal.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali, antara punca kenaikan adalah disebabkan pengurangan kapasiti dari segi pengangkutan dan tempat penginapan selain syarat ujian saringan yang ketat.
“Harga lantai ditetapkan pada harga RM6,900 tetapi mungkin ada (agensi) yang meletakkan harga lebih tinggi... ini bergantung kepada strategi pemasaran atau penetapan harga mengikut syarikat pelancongan masing-masing.
“Bagaimanapun saya nampak ada ruang sekiranya SOP itu dilonggarkan dari semasa ke semasa, ia akan memberikan impak positif.
“Ia akan membawa kepada penurunan kos, contohnya pengangkutan bas kini ditetapkan pada 50 peratus kapasiti dan insya-Allah mungkin apabila dibenarkan kapasiti penuh semula, maknanya kos pengangkutan bas dapat dikurangkan kerana lebih muatan dibenarkan,” ujarnya ketika ditemu bual menerusi Agenda AWANI pada Selasa.
Umrah: Harga lantai pasti berkurangan sebaik lebih banyak SOP dilonggar nanti
Begitu juga dengan penginapan di hotel dan kos-kos lain yang mungkin terpaksa dinaikkan kerana memerlukan penjarakan fizikal dan sebagainya, kata Ahmad Ruzman.
“Sekarang ini di hotel dibenarkan dua orang sebilik. Jika dibenarkan lebih dari itu, maka akan ada syarikat ejen pelancongan mungkin (dapat tawarkan) dengan harga empat orang satu bilik.
“Begitu juga dengan ujian RT-PCR, kemungkinan rekod situasi COVID-19 semakin baik, contohnya di Arab Saudi semalam kita tengok kes baharu hanya 38 kes dilaporkan.
“Jadi, dengan kelonggaran sepeti muatan bas, hotel dan syarat ujian RT PCR, maka ia akan mengurangkan kos. Mungkin juga dari segi makan, jika dapat bawa makanan dari luar, maka ada pengurangan kos lagi,” jelas beliau lagi.
Beliau pada masa sama mengharapkan agar syarikat ejen pelancongan berlaku jujur dengan tidak menaikkan harga sesuka hati.
Agenda AWANI: Umrah | Sebelum ke Mekah, ini perkara yang anda perlu tahu